Rasulullah saw pernah bersabda :
“Orang yang berpuasa di bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan penuh harapan, maka akan diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Riwayat Bukhari Dan Muslim).
Ramadhan yang telah tinggalkan kita setahun lalu, kini datang kembali membuka ruang dan peluang kepada sekalian manusia meraih pahala dan keampunan dari Allah swt.
Sebagaimana sabda baginda, bulan Ramadhan adalah bulan keampunan yang mana Allah swt akan mengampuni dosa, memaafkan kesalahan dan membebaskan manusia dari neraka.
Oleh itu, untuk menghargai kehadiran bulan mulia ini marilah kita berazam untuk meningkatkan amal soleh kita disamping mengharapkan keampunan dari Allah swt.
1. Taubat
Adalah lebih disarankan kita mensucikan diri kita terlebih dahulu dengan melakukan solat sunat taubat untuk menyambut bulan mulia ini. Selain taubat, kita perlu basahkan bibir kita dengan memperbanyakkan zikir dan istighfar.
Ketika beristighfar, kita juga perlu menghayati makna istighfar iaitu kita memohon keampunan dari Allah Yang Maha Pengampun. Sentiasa menghadirkan rasa berdosa terhadap Allah swt akan dosa-dosa yang telah kita lakukan tahun ini.
Oleh itu, kita sentiasa hadirkan rasa duka terhadap kesilapan diri sendiri. Mudah-mudahan dengan itu kita dapat menjalani bulan Ramadhan kelak dengan hati dan jiwa yang suci dari segala dosa.
“Sungguh, Allah menyukai orang yang bertaubat dan menyukai orang yang menyucikan diri.” (Al-Baqarah : 222).
2. Muhasabah
Sebelum memasuki bulan Ramadhan, kita perlu mencari masa untuk muhasabah diri sepanjang setengah tahun ini. Marilah kita merenung satu demi persatu perjalanan dan amalan yang sudah kita lakukan. Maka, berkaitan pada diri kita, adakah perjalanan hidup kita lebih menuju kebaikan atau sebaliknya?
Sekiranya amalan sunat kita semakin bertambah atau semakin berkurang? Adakah akhlak kita semakin membaik atau sebaliknya? Adakah kita telah melakukan amalan soleh yang membuahkan pahala yang berterusan?
3. Membaca Al-Quran
Di bulan Ramadhan ini dimana merupakan bulan yang diturunkan kitab Al-Quran. Jika sebelum ini kita hanya membaca Al-Quran sekali sehari, maka untuk menyambut Ramadhan, kita perlu tingkatkan jumlah bacaan dalam sehari.
Sekiranya kita ingin berazam menghafal Al-Quran di bulan Ramadhan, kita perlu mencuba cara contoh ini seperti pasang MP3 alunan Al-Quran surah atau ayat yang ingin dihafal, kemudian kita perlu menulis semula tanpa melihat Al-Quran. Kita juga perlu menulis berulang kali, InSyaAllah akan berkesan.
Ketahuilah, perbuatan paling Rasulullah saw sukai pada bulan Ramadhan adalah mengisi hari-harinya dengan membaca Al-Quran, baginda menjadikan sebahagian besar waktunya dengan Al-Quran.
4. Kreatifkan Sedekah
Sepertimana kita tahu, Ramadhan hadir dalam hidup kita sekali setahun, maka ambillah peluang bulan yang penuh barakah ini dengan kreatifkan dan perbanyakkan sedekah. Sekiranya sebelum ini kita bersedekah kepada tabung masjid, maka Ramadhan ini kita boleh bersedekah dengan membeli bekalan makanan dan sedekahkan kepada rakan atau saudara.
Rasulullah saw sendiri menjalani hari-harinya di bulan Ramadhan dengan bersifat dermawan. Yakinlah dengan janji Allah swt akan membalas setiap perbuatan sesuai dengan apa yang kita lakukan.
5. Hidupkan Malam
Sebelum tibanya bulan Ramadhan ini, kita mestilah mulakan langkah biasakan diri bangun pada waktu malam kerana bangun pada waktu malam di bulan Ramadhan ini lebih mudah kita menghidupkan malam dan mengejar Lailatulqadar.
Apabila tiba Ramadhan, Nabi Muhammad saw melakukan qiamulail kerana tiada qiamulail yang paling mulia melainkan qiamulail yang dilakukan pada bulan Ramadhan, tidak ada sujud yang paling mulia selain sujud yang dilakukan di bulan Ramadhan, tidak ada wuduk, zikir, sedekah, doa dan tangisan yang paling baik disisi Allah swt selain yang dilakukan pada bulan Ramadhan kareem.
Oleh itu, marilah kita hidupkan Ramadhan dengan memperbanyakkan masa bersama Al-Quran kerana isi kandungan kalamullah adalah pendidikan Rabbani dan cahaya bagi hati. Tadabburlah al-Quran sehingga kita mampu menangis kerana mengakui kebesaran Allah swt yang terkandung di dalamnya.
Semoga, mudah-mudahan Allah swt akan menghadirkan kemanisan dan keberkatan dalam diri kita sepanjang Ramadhan tahun ini.
Sumber: TZKRH.COM