Los Angeles: Lima maut dalam kemalangan belon udara panas di Albuquerque, barat daya Amerika Syarikat (AS), menurut polis bandar itu, semalam.
Insiden itu turut menyebabkan berlaku gangguan bekalan elektrik selama beberapa jam di kawasan terbabit selepas belon udara panas berkenaan terlanggar kabel elektrik.
“Empat individu maut kerana cedera dalam kemalangan belon udara panas itu,” kata polis Albuquerque menerusi Twitter sambil menambah bahawa seorang lagi mangsa yang parah dikejarkan ke hospital.
Pihak berkuasa kemudian memaklumkan, lelaki dewasa itu turut meninggal dunia.
“Kami menitipkan doa kepada rakan dan keluarga kesemua lima mangsa tragedi itu,” ciap polis.
Kira-kira 13,000 penduduk mengalami gangguan bekalan elektrik, pagi semalam, menurut pihak utiliti PNM melalui hebahan dalam Twitter.
Bagaimanapun, katanya, bekalan elektrik kepada semua pengguna terbabit kemudian berjaya dipulihkan. – AFP
Sumber: My Metro