KUALA LUMPUR: Aliran trafik Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) arah ibu negara, kini perlahan lebih lapan kilometer ekoran berlaku kemalangan membabitkan lima motosikal berkuasa tinggi di Kilometer (KM) 26.5, sebentar tadi.
Pengurus Besar Kanan ANIH Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata laporan awal yang diterima pihaknya mengatakan kemalangan berlaku kira-kira jam 1.45 tengah hari yang menyebabkan lorong laju di lebuh raya terhalang.
“Setakat jam 2.30 petang tadi, lorong laju masih ditutup. Trafik kini agak perlahan sepanjang 8.5 kilometer dari KM35 (Genting Sempah-Gombak hingga ke lokasi kemalangan.
“Justeru kita minta semua pengguna lebuh raya supaya bersabar dan berhati-hati ketika memandu selain mematuhi arahan petugas di tempat kejadian,” katanya.
Terdahulu tular beberapa gambar dan rakaman video membabitkan kemalangan itu di media sosial.
Difahamkan, kejadian itu tidak membabitkan kehilangan nyawa namun kelima-lima penunggang motosikal terbabit dilaporkan mengalami kecederaan parah.
Bagaimanapun pihak media sedang menunggu maklumat lanjut daripada pihak polis berkaitan kemalangan itu.
Sumber: BERITA HARIAN