5 Permata Raub Dicadangkan Dalam Draf Rancangan Tempatan Daerah 2035

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RAUB : Cadangan 5 Permata Raub digariskan dalam draf Rancangan Tempatan Daerah Raub 2035 bagi memperkukuhkan daerah ini ke peringkat global.

Ketua Pengarah PLANMalaysia, YBrs. Dr. Shamsaini Shamsuddin berkata ini kerana daerah ini merupakan salah satu daerah yang terkenal dengan nilai warisan sejarah dan aset semulajadi.

“Suatu masa dahulu, daerah Raub terkenal sebagai Bandar Perlombongan Emas. Di dalam konteks Rancangan Struktur Negeri Pahang 2050, ianya telah menggariskan wawasan pembangunan daerah Raub adalah sebagai Lembah Agro Lestari di Negeri Pahang.

“Sehubungan dengan itu, penyediaan Draf Rancangan Tempatan daerah Raub, Pahang 2035 (penggantian) telah menggariskan beberapa strategi untuk memperkukuhkan kedudukan daerah Raub ke peringkat glibal melalui cadangan 5 Permata Raub (Raub 5 Gems),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf Rancangan Tempatan Daerah Raub 2035 (Penggantian) di Dewan Jubli Perak Majlis Daerah Raub di sini.

Turut hadir, YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail; YB. Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr. Sallehuddin Ishak; YB. Pegawai Kewangan Negeri Pahang, Dato’ Indera Nazri Abu Bakar; Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda; Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Aziz Haji Mat Kiram; Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Pahang, YB. Dato’ Haji Nazri Ngah; dan Ahli Dewan Negeri (ADN) Dong, YB. Dato’ Sri Haji Shahiruddin Ab Moin.

Menurut beliau lima perkara yang terlibat di dalam cadangan ini meliputi pelbagai aspek yang ada di daerah ini.

“Pertama, durian Musang King yang akan menjadi ikon produk pertanian di peringkat global, cadangan Model Bisnes Raub Agropolitan dan cadangan Raub Agrotech Centre (RATEC) sebagai pemangkin kepada nilai pengeluaran hasil pertanian di daerah Raub dan Negeri Pahang.

“Bukit Fraser sebagai Eko Warisan Tanah Tinggi yang berkonsepkan Little England dengan senibina Mock Tudor, melibatkan cadangan Taman Negeri Bukit Fraser, cadangan Taman Floria dan sebagainya.

“Cadangan Kompleks Geopark Benum yang merupakan aset yang bernilai bagi kluster pelancongan warisan geologi melalui penemuan kompleks batuan igneus berusia jutaan tahun disamping penemuan bunga Rafflesia di Hutan Simpan Gunung Benum juga dapat menonjolkan keunikan ekosistem yang masih terpelihara di daerah Raub,” katanya.

Tambah beliau lagi, dua permata yang turut terlibat dalam cadangan tersebut adalah badar Raub dan Eko-Pelancongan serta Agro-Pelancongan.

“Bandar Raub yang bertemakan Raub Bandar Agro Warisan dengan cadangan zon warisan termasuklah cadangan Muzium Warisan dan Kesenuan Raub, Raub Urban Centre (RUC), cadangan Raub 21, Laman Biznes Raub dan sebagainya.

“Eko-Pelancongan dan Agro-Pelancongan termasuklah cadangan tagline promosi pelancongan ‘Weh, Moh Ke Raub!’, cadangan produk pelancongan dan pertanian dengan label Raub Premium, Pekan Dong sebagai Pekan Warisan Pasar Sehari, Sungai Ruan sebagai Pusat Agro Satelit Durian, dan Batu Malim sebagai Pekan Pesisir Sungai melalui penyediaan R&R Batu Malim dan sebagainya,” katanya.

Menurut beliau lagi, secara keseluruhannya, draf ini menyenaraikan sebanyak 130 cadangan keseluruhan projek dan inisiatif pembangunan.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 23 cadangan merupakan projek quick win yang dicadangkan untuk pelaksanaan segera dan dijangka akan memberi impak segera kepada peningkatan imej dan promosi kepada daerah Raub di masa hadapan.

“Antara cadangan projek quick win adalah seperti cadangan Jejak Warisan Bandar Raub, cadangan Laluan Seni dan Seni Awam Bandar Raub, cadangan menaiktaraf Dataran Raub, cadangan Pasar Terapung Sungai Dong, cadangan Jejak Warisan Bukit Fraser, cadangan Pusat Rekreasi Air Batu Malim, dan sebagainya.

Sumber: PAHANGMEDIA