5 Tips Menjadikan Ibadah Puasa Seperti Golongan Orang Soleh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pernahkah terdetik di hati anda, adakah puasa anda hari ini diterima oleh Allah? Atau, adakah puasa kali ini tidak sia-sia?

Mungkin pernah juga terdetik di hati anda, apa agaknya yang akan terjadi jika pahala puasa kita tidak mencukupi sebagai bekalan amal di hari akhirat kelak.

Namun, kadang-kadang kita perlu ajukan persoalan-persoalan seperti itu kepada diri sendiri untuk menjadikan amal ibadah kita hari ini lebih baik dari semalam.

Sebagaimana orang-orang soleh yang sentiasa berusaha untuk menjadikan amalan hari ini lebih baik daripada semalam kerana belum tentu kita dapat menjengah hari esok.

Apabila masuknya bulan Ramadan, iaitu bulan yang penuh dengan kemuliaan dan keagungan, pasti mereka akan cuba untuk beramal sehabis baik bagi mendapatkan reda Allah.

Jadi, bagaimana puasa golongan yang soleh?

1.Menundukkan Pandangan
Dari mata, turun ke hati. Ia adalah perumpamaan yang popular di kalangan kita. Selalunya kita akan mendengarnya apabila ia berkait dengan cinta dan perasaan.

Namun, sebenarnya ia lebih daripada itu. Dari pandangan mata, hati juga akan memberi reaksi. Jika kita terlalu banyak melihat perkara yang melalaikan, hati juga boleh berubah dengan kurangnya mengingati Allah.

Disebabkan itu, kita sering dengar suruhan mengenai tundukkan pandangan kerana ia sebenarnya boleh membantu hati untuk lebih dekat dan sering mengingati Allah.

2. Memelihara Lidah
Lidah juga memainkan peranan yang sangat penting. Bahkan, dalam perumpamaan Melayu juga banyak menyebut mengenai lidah.

‘Lidah yang lebih tajam daripada mata pedang’ atau ‘ibarat nila setitik, habis susu sebelanga’ dan banyak lagi yang digambarkan akan buruknya perbuatan itu yang boleh merosakkan sesuatu hubungan atau perkara.

Di bulan puasa ini, cuba untuk menjaga lidah daripada berkata yang sia-sia. Cuba untuk menahan diri daripada mengumpat, memfitnah atau mencarut.

Apabila sudah berjaya menahannya, cuba untuk menambah amal dengan memperbanyakkan zikir, istighfar dan juga selawat.

3. Dengarlah Perkara Yang Baik-Baik
Pekakkan telinga anda daripada mendengar perkara yang tidak berfaedah atau sia-sia. Umpatan. Cacian atau fitnah merupakan antara perkara yang perlu dihindari.

Apabila anda mendengar orang sekeliling anda berbicara perkara sedemikian, beredarlah daripada tempat itu untuk menghalang telinga anda daripada mendengar perkara yang bukan-bukan.

Walaupun anda tidak ikut mengumpat atau hanya diam sahaja, namun anda juga tetap mendapat dosa yang sama kerana mendengar perkara yang sia-sia.

Mafhum: “Mereka ialah orang-orang yang Allah tidak mahu membersihkan hati mereka; bagi mereka kehinaan di dunia, dan di akhirat kelak mereka beroleh azab seksa yang besar. Mereka sangat suka mendengar berita-berita dusta, sangat suka memakan segala yang haram (rasuah dan sebagainya).” (Surah Al-Maidah, 5:41-42)

4.Tidak Berlebihan Ketika Berbuka
Setelah seharian berpuasa, pastinya perut kita lapar dan nafsu ingin makan semua benda yang terlintas di hati. Apabila melihat gambar rakan anda yang memuat naik roti john, anda juga terikut inginkannya.

Apabila terbau jiran anda memasak kambing golek, selera anda juga membuak-buak menginginkannya. Apabila melihat rancangan masakan yang membuat resepi kek batik, nafsu anda juga menginginkannya.

Sedangkan, ia hanyalah mainan perasaan dan nafsu anda semata-mata. Nikmat ketika berbuka ialah apabila anda berasa kenyang hanya dengan makan kurma dan minum segelas air, bukannya mengikut nafsu syahwat dengan makan berlebih-lebih sehingga tidak larat untuk menunaikan ibadah seterusnya.

Sepertimana golongan orang yang soleh yang sentiasa makan seadanya dan tidak melebih-lebih kerana bimbang jika ia boleh memberi kesan kepada ibadah-ibadah yang lain. Maka, kita juga perlu berusaha melawan hawa nafsu daripada makan secara berlebihan.Adakah Allah Menerima Puasaku

5.Para ulama dan golongan yang berilmu sering menasihati diri mereka agar setiap apa yang dilakukan ini, belum tentu diterima oleh Allah.

Justeru, setiap hari yang berlalu, mereka akan mengakhirinya dengan muhasabah dan mencuba untuk menjadi lebih baik daripada hari semalam.

Hadirkan rasa takut dalam diri anda – “Adakah Alllah menerima pahala puasaku? Bagaimana jika disebabkan satu dosa yang kulakukan, puasaku hari ini ditolak?”

Dan pelbagai lagi persoalan yang boleh diajukan kepada diri sendiri sebagai pemangkin semangat untuk menjadikan puasa pada hari seterusnya lebih baik.

Kesimpulannya, tujuan utama puasa adalah untuk mengajar diri kita menjadi lebih baik, bukan sahaja dari segi fizikal, malah hati dan nurani agar rohani anda sentiasa kuat dan terjaga.

Justeru, belajarlah daripada para nabi dan golongan terdahulu akan cara mereka beramal dan berpuasa untuk mendekatkan diri kepada Allah.

Sumber:TZKRH.COM