50 Kambing Seludup Dari Thailand

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pasir Mas: Tindakan dua lelaki membawa 50 kambing seludup bernilai RM30,000 menggunakan sebuah lori membawa padah apabila mereka ditahan polis di di Jalan Repek-Lubok Jong, dekat sini, jam 2.50 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata, ketika kejadian, anggota membuat rondaan sebelum terserempak sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, anggota mengekori lori berkenaan sebelum meminta pemandu memberhentikan kenderaan untuk tujuan pemeriksaan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati pemandu dan kelindan, masing-masing berusia 29 serta 22 tahun.

“Hasil pemeriksaan ke atas lori berkenaan menemui kambing dipercayai diseludup dari Thailand. Kedua-dua suspek juga gagal mengemukakan dokumen permit pemindahan haiwan ternakan.

“Berdasarkan soal siasat, suspek mengakui mereka terbabit dengan penyeludupan kambing dari Thailand yang mana ia diambil di tepi sungai Kampung Kubang Pak Hitam, Meranti, dan dihantar ke kandang yang terletak di belakang Taman Tengku Anis, Lubok Jong, di sini.

“Pemandu dan kelindan ditahan manakala lori serta kambing dirampas untuk dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas bagi tujuan siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

SUmber: My Metro