MARANG– Theta Edge Berhad mempertingkat penguasaan literasi digital melalui sumbangan komputer riba melalui #thetaCares kepada 50 pelajar dari keluarga memerlukan dengan Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Development (TAJDID) Corporation Sdn Bhd, hari ini.
“Kami berharap dengan sumbangan ini, mereka dapat mengguna pakai teknologi untuk menjadi lebih berdaya saing di dunia teknologi sekarang,” kata Puan Noraslina Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad.
Inisiatif tanggungjawab social korporat, #thetaCares ini turut memperluas penggunaan teknologi sejajar dengan transformasi digital untuk kekal berdaya saing sekaligus menyemarakkan masyarakat yang celik IT dalam menempuh era revolusi industry 4.0.
“Adalah menjadi harapan kami agar pemberian komputer riba ini akan dapat membantu anak-anak ini untuk lebih mendalami dunia digital dan membantu pembelajaran teknologi maklumat terkini,” katanya lagi.
#thetaCares yang telah dilancarkan pada bulan Mac lalu, mempunyai dua program iaitu Pendigitalan Komuniti B40 dan Digital Masjid. Theta Edge Berhad memperuntukkan sumbangan berupa komputer untuk diagihkan kepada pusat komuniti serta sekolah-sekolah yang memerlukan. Ini adalah selaras dengan bantuan ’Environment, Social, and Governance’ yang diperkenalkan dengan matlamat untuk menyediakan kemudahan infrastruktur dan pembelajaran digital bagi subjek matematik, sains serta bahasa inggeris kepada pelajar tingkatan 5 dan juga pembelajaran selok belok perniagaan kepada usahawan muda.
Melalui program digital masjid, Theta Edge Berhad berharap untuk mengemukakan sistem pentadbiran dan perakaunan yang lebih cekap dan efisyen yang dapat diguna pakai di masjid-masjid di setiap negeri.
Transformasi digital bakal melahirkan lebih ramai komuniti terutamanya golongan belia yang celik IT.
“Tujuan sumbangan ini adalah untuk menjadikan mereka celik IT” kata Yang Berhormat Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Kerajaan Negeri Terengganu.
“Kami berharap sumbangan ini dapat membantu merapatkan lagi jurang digital yang makin mencabar dan setanding dengan negara maju yang lain,” Puan Nuraslina mengakhiri ucapannya di Dewan Sivik Bukit Payong.
Kini, sumbangan Theta Edge Berhad yang memfokuskan pengurangan jurang digital telah merekodkan sebanyak 720 sumbangan diperuntukkan seluruh Malaysia.
Sumbangan komputer riba yang telah disempurnakan oleh Yang Berhormat Ustaz Ariffin Deraman, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital Kerajaan Negeri Terengganu diiringi oleh Puan Nuraslina Zainal Abidin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Theta Edge Berhad.
Sumber : UNIT BERITA MANIS FM