Kota Bharu: Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) sudah menjalankan sebanyak 37,662 pemeriksaan tempat kerja membabitkan 152,652 penginapan sepanjang tahun ini bermula Februari lalu di seluruh negara.
Daripada jumlah pemeriksaan itu, sebanyak 50 peratus majikan didapati tidak mematuhi Akta Standard Minimun Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja (Akta 446 pindaan 2019).
Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JTKSM Mohd Asri Abd Wahab berkata, kesalahan paling ketara dibuat oleh majikan adalah tiada sijil perakuan penginapan untuk pekerja.
“Sepanjang tempoh itu juga, kita sudah membuka 1,169 kertas siasatan dan seramai 134 majikan sudah didakwa di mahkamah yang membawa kepada denda sebanyak RM874,000.
“Kesalahan paling ketara yang dikesan adalah tiada sijil perakuan penginapan untuk pekerja sedangkan dalam akta terbabit, jelas menyebut bahawa majikan perlu memohon sijil perakuan itu.
“Kita seru supaya mana-mana majikan yang belum ada sijil perakuan, sila mohon kepada JTK yang berhampiran kerana kami ada 39 pejabat di seluruh Semenanjung dan mereka boleh tampil bertanyakan mengenai permohonan,” katanya di sini, hari ini.
Terdahulu Mohd Asri hadir dalam Operasi Penguatkuasaan Khas Akta 446 dan Akta 342 bersama agensi berkaitan termasuk Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandaraya Islam (MPKB-BRI), Pejabat Kesihatan Daerah, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) di dua lokasi di Pengkalan Chepa di sini.
Pemeriksaan pertama dibuat di sebuah penempatan di kilang besi yang memuatkan 30 pekerja warga Nepal dengan kesemua pekerja itu ditempatkan di tingkat dua bangunan.
Tinjauan mendapati, selain majikan tidak memiliki sijil perakuan, penginapan itu juga tidak mengikut prosedur operasi standard (SOP) di bawah akta berkaitan antaranya struktur bilik yang sempit dan hanya dipisahkan dengan papan lapis serta tahap kebersihan yang tidak memuaskan.
Situasi yang sama dilihat di lokasi kedua pula iaitu sebuah pusat cuci kereta yang menggaji 12 warga Bangladesh dan ditempatkan di sebuah kontena yang ruang dalamnya diubah suai sehingga menimbulkan keadaan sesak sekali gus tidak selesa kepada pekerja.
Mohd Asri berkata, hasil pemeriksaan ke atas kedua premis itu dikesan melakukan kesalahan yang sama mengikut Seksyen 24D Akta 446 iaitu tiada perakuan penginapan dan masih belum membuat sebarang permohonan kepada JTK.
“Majikan juga melakukan kesalahan mengikut Peraturan 4 dan JTK Kelantan akan mengeluarkan sekurang-kurangnya enam kertas siasatan ke atas dua majikan ini dan jika sabit kesalahan boleh didenda sehingga RM50,000 bagi setiap satu kesalahan.
“Selain itu, pasukan MPKB-BRI turut mengenal pasti satu kesalahan dilakukan oleh dua majikan itu mengikut Undang-undang Kecil Rumah Tumpangan 1989 (Pindaan 2003) iaitu tiada lesen membuat penginapan,” katanya.
Sumber: My Metro