500 unit Rumah Malaysia dibina di Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Sebanyak 500 unit Rumah Malaysia dirancang dibina di Lanchang, kira-kira 140 kilometer dari sini, pada tahun ini, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Zuraida Kamaruddin.

Beliau berkata, ia merupakan antara 11 projek Rumah Malaysia yang membabitkan pembinaan di seluruh negara.

“Terdapat juga permintaan daripada kerajaan negeri yang mencadangkan tanah yang dapat kita pertimbangkan untuk projek perumahan seterusnya dan saya akan bincang perkara ini dengan Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) nanti,” katanya kepada pemberita selepas melawat Perumahan Rakyat Makmur Gambang Jaya 2 di sini.

Semalam, Zuraida dilaporkan berkata Projek Perumahan Rakyat (PPR) akan dinaik taraf sebagai Rumah Malaysia bermula tahun ini dan keluasan rumah ditambah kepada 900 kaki persegi berbanding 700 pada masa ini.

Menurut laporan itu, sebanyak 11 projek Rumah Malaysia membabitkan 4,120 unit akan dibina di seluruh negara dengan tiga daripadanya di Johor iaitu di Kluang, Sembrong dan Pengerang.

Semua projek masih dalam proses tender.

Zuraida juga berkata, pihaknya akan melancarkan kempen 1Rumah 1Alat Pemadam Api (1RAPI) pada bulan depan dalam usaha mendidik masyarakat supaya lebih peka dengan isu kebakaran.

“Bagi memupuk kesedaran masyarakat juga, kemungkinan pada masa depan iaitu dalam masa setahun, kita akan wajibkan pemaju untuk lengkapkan kawasan perumahan dengan alat pemadam api setiap rumah.

“Kos akan ditanggung pemaju, mungkin pemaju boleh laksanakan menerusi program tanggungjawab sosial korporat mereka,” katanya.

Sumber: My Metro