5,000 penduduk Gaza tidak mempunyai dokumen pengenalan diri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jalur Gaza, 17 Sya’ban 1442 H, Selasa: Ribuan rakyat Palestin di Jalur Gaza yang dikepung telah dilucutkan hak mereka untuk mendapat dokumen pengenalan diri. Tindakan ini menyebabkan mereka tidak menerima hak asasi mereka terutama hak kebebasan bergerak.

Dalam sebuah laporan bertajuk Jalur Gaza: Warganegara Tanpa Dokumen, Euro-Med menyatakan bahawa mereka yang tidak mempunyai kad pengenalan di Gaza memasuki jalur Gaza tersebut dengan beberapa cara, iaitu sama ada dengan visa pelawat sementara yang dikeluarkan oleh Israel, melalui tembok sempadan antara Mesir dan Gaza yang runtuh, atau melalui terowong bawah tanah yang menghubungkan Mesir dan Gaza sebelum tahun 2014.

Laporan itu mengkaji kesukaran yang dihadapi oleh penduduk Gaza yang tidak mempunyai kad pengenalan, sehingga ada yang kehilangan nyawa akibat penyakit kronik yang menjadi semakin teruk kerana permohonan mereka untuk mendapatkan rawatan di luar Palestin ditolak.

Dari sudut pendidikan dan bekerja di luar negara, penduduk yang tidak mempunyai dokumen tidak dapat melakukan perjalanan untuk tujuan pendidikan atau bekerja kerana mereka tidak dapat memperoleh pasport. Mereka juga tidak dapat bertemu ahli keluarga mereka yang tinggal di luar negara, menyebabkan ramai ahli keluarga tidak dapat berkumpul.

Laporan itu menunjukkan bahawa masalah ini semakin menemui jalan buntu ditambah lagi apabila pihak berautoriti tidak dapat bersuara untuk menyelesaikan masalah kemanusiaan ini sejak bertahun-tahun lamanya.

Pasukan Monitor Euro-Med menemubual Zahra Abu Alwan, 75, yang meninggalkan Jalur Gaza bersama suaminya sebelum penjajahan Israel pada 1967. Mereka tidak mendapat kad pengenalan kerana tidak hadir semasa bancian Israel.

“Kami kembali ke Gaza pada tahun 2000 melalui permit pelawat,” jelas Abu Alwan. “Sejak tahun 2000, kami tidak mempunyai kad pengenalan. Saya mempunyai seorang anak lelaki yang tinggal di luar negara, dan saya tidak dapat menemuinya lebih dari 20 tahun kerana saya tidak dapat meninggalkan Gaza.”

“Suami saya mengalami gangguan keseimbangan badan akibat diabetes. Dia menderita dalam tempoh yang lama. Kami bertemu ramai doktor di Gaza, tetapi masih tidak dapat menemukan rawatan yang sesuai. Kami perlu segera membuat rawatan di luar negeri, tetapi kami tidak dapat keluar kerana tidak mempunyai dokumen pengenalan diri. “

Jurucakap Euro-Med Monitor di Palestin, Nada Nabil, menegaskan: “Israel, sebagai kuasa penjajah, wajib menghormati undang-undang antarabangsa dalam semua urusan berkaitan rakyat Palestin dan mengakhiri dasar kerajaan yang tidak memberikan mereka kad pengenalan.”

Laporan itu menyatakan bahawa pihak berkuasa Israel perlu menghapuskan sekatan yang dilakukan sewenang-wenangnya terhadap hak warga Palestin untuk tinggal di Gaza, dan memberikan semula hak kepada warganegara untuk mendapatkan dokumen pengenalan.