DUNGUN – Hampir 5,000 penduduk di beberapa kampung terputus hubungan apabila laluan Jerangau-Jabur di Kilometer 73, dekat Bukit Besi runtuh dalam kejadian banjir besar Selasa lalu.
Ia membabitkan Kampung Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Talong, Dendang, Paya Lawas dan Jerangau.
Seorang penduduk Kampung Dendang, Shamsul Azmi Ghazali, 32, berkata laluan itu menjadi nadi perhubungan penduduk ke Kuala Dungun, Bukit Besi hingga ke Kemaman.
Menurutnya, runtuhan itu mengakibatkan sebahagian struktur jalan berlubang hampir dua meter, sekali gus ditutup kepada semua kenderaan.
“Memang bahaya dan wajar ditutup kerana kita bimbang jalan itu akan runtuh sepenuhnya dan boleh mengancam keselamatan nyawa pengguna.
“Kejadian itu menyebabkan penduduk Pasir Raja, Kuala Jengai, Tepoh, Minda, Talong, Dendang, Paya Lawas dan Jerangau terpaksa menggunakan jalan Kampung Wa dan Kampung Besul untuk ke Bandar Dungun dan Kemaman,” katanya.
Katanya, kejadian itu mendatangkan kesulitan kepada penduduk untuk melakukan urusan penting kerana terpaksa menggunakan laluan lain yang jaraknya sangat jauh.
Penduduk Kampung Bukit Besi, Zukria Yaakub, 45, pula kesal kerana masih ada pengguna jalan yang sanggup mengambil risiko melalui jalan itu.
“Ada yang sanggup mengalih batu penghadang yang diletakkan pihak berkuasa. Mereka ini tidak tahu tanah di bawah jalan itu sudah terhakis teruk dan boleh menyebabkan kenderaan mereka terhumban.
“Penduduk sangat berharap pihak berwajib segera membaiki jalan itu,” katanya.
Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, berkata pihaknya telah mengadakan perbincangan dengan Jabatan Kerja Raya (JKR) bagi menyelesaikan masalah berkenaan.
“Kerja-kerja pembaikan jalan akan segera dilakukan dan berharap penduduk bersabar,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN