52 Keluarga Asnaf Yang Ditimpa Banjir Setiap Tahun Kini Menarik Nafas Lega

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Seramai 52 keluarga dari golongan asnaf yang menghuni Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB) di Kampung Padang Rumbia di sini menarik nafas lega apabila kawasan perumahan yang didiami mereka sejak 2012 itu tidak lagi dilanda banjir baru-baru ini setelah saban tahun mereka ditimpa masalah itu.

Ini berikutan sebuah saliran besar sepanjang dua kilometer yang menghala ke Sungai Temai telah siap dibina berhampiran kawasan perumahan tersebut sejak September tahun lalu sekaligus menjadi punca kawasan perumahan itu tidak lagi dilanda banjir.

Pengerusi Jawatankuasa Sains, Teknologi, Inovasi, Komunikasi dan Multimedia Negeri Pahang, YB Dato’ Haji Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff yang juga Ahli Dewan Negeri Bebar berkata, beliau telah memohon peruntukan RM80,000 dari Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk membina saliran di situ bagi mengatasi masalah banjir yang saban tahun dialami golongan asnaf disitu.

“Kita dapat lihat selepas siapnya pembinaan saliran ini, penduduk asnaf di Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB) tidak lagi perlu berpindah ke Pusat-pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti sebelum ini kerana saliran baharu siap ini berjaya mengurangkan kesan banjir yang dihadapi sebelum ini.

Kawasan rumah penduduk yang tidak dinaiki air banjir selepas saliran besar sepanjang dua kilometer yang menghala ke Sungai Temai telah siap dibina berhampiran kawasan Pusat Komuniti Perumahan Bersepadu (PKPB) di Kampung Padang Rumbia

“Inilah antara usaha-usaha kerajaan hari ini dalam memastikan nasib mangsa banjir terbela dan dapat duduk dengan selesa sama ada di rumah sendiri mahupun di Pusat-pusat Pemindahan Sementara.

“Saya juga melihat penyelarasan bantuan banjir bagi Daerah Pekan berjalan lancar dengan baik sekali diuruskan Pejabat Daerah, UMNO, Skuad Sabil, NGO dan lain-lain. Jutaan Terima kasih saya ucapkan kepada semua yang terlibat,” katanya ketika ditemui Unit Komunikasi Media Pahang (UKOMP) selepas menyampaikan Bantuan Wang Ihsan banjir di PPS Padang Rumbia baru-baru ini.

Sementara itu menurut penduduk, Saad bin Long, 66, rumahnya tidak lagi dilanda banjir baru-baru ini setelah setiap tahun dia pasti ditimpa musibah itu.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada YAB Menteri Besar Pahang, wakil rakyat dan semua yang terlibat dalam menyelesaikan masalah banjir di PKPB ini.

Ketua Kampung Padang Rumbia, Encik Basari Abd Malek berkata, dengan siapnya pembinaan projek saliran ini, air ketika hujan lebat kini dapat mengalir sempurna ke Sungai Temai sekaligus ianya berjaya mengatasi masalah banjir di kawasan perumahan PKPB yang terjadi setiap tahun.

“Bila banjir baru ini, penduduk kawasan perumahan ini tidak perlu lagi berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) seperti lazimnya. Selaku Ketua Kampung, saya amat bersyukur dan mengucapkan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Pahang, YAB Menteri Besar, YB ADN Bebar, Pejabat Daerah Pekan dan juga KPLB diatas usaha membina saliran untuk kepentingan penduduk,” katanya lagi.

SUmber: PAHANGMEDIA