IPOH – Kira-kira 53 peratus rakyat Malaysia dewasa tidak menjalani saringan kesihatan dalam tempoh setahun yang lepas, kata Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin.
Beliau berkata angka ini menggambarkan bahawa kesedaran rakyat mengenai kepentingan saringan kesihatan masih rendah.
“Oleh kerana itu, insiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan dilaksanakan bermula Julai hingga Disember ini.
“Dalam masa lima bulan ini, Kementerian Kesihatan (KKM) sasar seramai 1.5 juta rakyat Malaysia berusia 40 tahun dan ke atas yang tidak pernah atau telah lama tidak melakukan saringan untuk disaring,” katanya sewaktu berucap melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringat negeri Perak di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar Perak Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Kesihatan, Alam Sekitar, Sains dan Teknologi Hijau Negeri Perak Mohd Akmal Kamarudin.
Mengulas lanjut, Khairy berkata rakyat seharusnya memanfaatkan saringan kesihatan percuma kepada golongan B40 berumur 40 tahun dan ke atas yang disediakan ProtectHealth Corporation melalui Skim Peduli Kesihatan B40 (PeKa B40) atau melalui Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) bagi pencarum di bawah Program Saringan Kesihatan.
“Melalui PeKA B40, seramai enam juta rakyat layak menikmatinya, namun sehingga kini cuma 600,000 orang atau 10 peratus sahaja yang mendapat manfaat.
“Jadi, tampillah nanti sepanjang lima bulan akan datang untuk saringan kesihatan. Intervensi awal akan mengesan sebarang penyakit.
“Jangan tunggu sakit baru datang periksa kesihatan di klinik. Ia patut dirawat dari awal sebelum dipotong kaki kerana kencing manis atau terlantar akibat serangan angin ahmar,” katanya.
Sumber: BERNAMA