57.2 Peratus Kematian COVID-19 Babit Individu 60 tahun Ke Atas – ICR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Kajian Institut Penyelidikan Klinikal (ICR) setakat ini mendapati kadar kematian dalam kalangan individu berusia 60 tahun ke atas adalah tinggi, iaitu sebanyak 57.2 peratus daripada keseluruhan kumpulan umur.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata individu berkenaan diwajibkan untuk mengambil dos penggalak berdasarkan faktor itu dan kebarangkalian imuniti rendah disebabkan faktor usia, komorbiditi, sela tempoh vaksin primer yang diambil dan penurunan imuniti.

Bagi warga emas, perkhidmatan vaksinasi secara jumpa terus akan ditawarkan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang serta Sarawak.

“PPV Integrasi di Lembah Klang (beroperasi) mulai Rabu lalu dengan PPV Pusat Dagangan Dunia (WTC), PPV Axiata Arena, Bukit Jalil dan PPV Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam, masing-masing dari jam 2 petang hingga 8 malam, manakala Soka Gakkai, Klang dari jam 12 tengah hari hingga 4 petang.

“PPV ‘Offsite’ (luar fasiliti) di Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya, Negeri Sembilan, Melaka, Pulau Pinang serta Sarawak mulai Isnin ini. Senarai lengkap PPV terbabit akan diumumkan ProtectHealth Corporation,” katanya menerusi Facebook.

Dr Noor Hisham memberi jaminan sekali lagi bahawa bekalan vaksin di Malaysia mencukupi dan KKM sedang mempertingkatkan pemberian vaksin COVID-19 di seluruh negara.

Sehubungan itu, orang ramai disarankan untuk mengambil dos penggalak vaksin COVID-19 supaya perlindungan yang optimum terhadap jangkitan COVID-19 dapat dikekalkan.

“Semua individu menerima vaksin termasuk vaksin penggalak juga perlu mengamalkan norma baharu dan mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membendung jangkitan COVID-19 serta memastikan negara dibuka dalam keadaan yang selamat,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham menasihatkan individu mengambil dos penggalak mematuhi saranan serta nasihat ditetapkan.

“Berada di ruang pemerhatian ditetapkan sekurang-kurangnya 15 minit dan memaklumkan kepada petugas kesihatan atau mendapatkan rawatan segera sekiranya mengalami tanda atau kesan teruk selepas vaksin COVID-19.

“Selain itu, amal norma baharu dan mematuhi langkah pencegahan penyakit COVID-19, menyimpan kad vaksinasi diberikan oleh anggota kesihatan dan elakkan aktiviti lasak dalam tempoh seminggu,” katanya.

Dr Noor Hisham juga mengingatkan individu untuk bersedia sebelum mengambil dos penggalak di PPV dengan tidur secukupnya, mengambil sarapan dan makanan tengah hari serta memastikan sihat tubuh badan dan tiada gejala.

“Mereka juga perlu memakai pakaian sopan serta sesuai, memakai pelitup muka, membawa kad pengenalan atau dokumen pengenalan diri, membawa kad vaksinasi sebagai bukti dos lengkap jika tiada aplikasi MySejahtera dan bukan dalam tempoh kuarantin,” katanya.

Sumber: BERNAMA