57 Peratus Remaja Pahang Telah Divaksin

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Sebanyak 57 peratus remaja di negeri ini iaitu 99,273 orang telah menerima suntikan vaksinasi COVID-19 dos pertama setakat ini.

Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus berkata, meskipun sudah mencapai 57 peratus namun masih terdapat seramai 73,727 orang lagi yang belum divaksin COVID-19.

“Daripada keseluruhan 173,000 orang, seramai 73,727 orang lagi masih belum menerima vaksin ini.

“Dan kita menjangkakan kesemua mereka akan menerima vaksinasi ini sebelum sesi persekolahan 2022 bermula,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP), di sini hari ini.

Seorang remaja sedang menerima vaksin COVID-19 di PVV Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, Kuantan baru-baru ini.

Menurutnya, sehingga kini perlaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) Remaja di Pahang berjalan dengan sangat baik dan mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) serta ibu bapa pelajar.

“Tiada masalah besar yang berlaku setakat program vaksinasi ini dijalankan.

“Cuma kita dalam proses mencari remaja yang tidak berdaftar, pelajar gelandangan, pelarian, keciciran sekolah dan lain-lain bagi memastikan mereka juga menerima vaksinasi ini,” katanya.

Beliau turut menasihati ibu bapa supaya memastikan anak mereka mendapat rehat yang cukup dan makan sebelum menerima suntikan selain mematuhi arahan pihak sekolah, Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) semasa menghantar anak untuk mendapat suntikan.

Tambah beliau lagi, Pahang kini telah menerima sebanyak 2.23 juta dos vaksin dan  telah menggunakan sejumlah 86 peratus iaitu sebanyak 1.92 juta dos setakat ini.

Sumber: PAHANGMEDIA