6 bot, 57 Nelayan Vietnam Ditahan Ceroboh Perairan Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Enam bot termasuk lima milik nelayan Vietnam ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melalui Op Kuda Laut dan Op Naga Barat selepas dikesan menceroboh perairan negeri ini.

Empat daripada bot terbabit semuanya menggunakan pangkal nombor pendaftaran ‘boy’ ditahan antara jam 9 hingga 10 pagi pada 31 Mac lalu, manakala dua lagi pada 1 dan 2 April.

Pengarah Maritim Malaysia Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, pada 31 Mac itu, pihaknya mengesan 12 bot nelayan asing di kedudukan kira-kira 130 batu nautika dari Kuala Terengganu, namun hanya empat berjaya ditahan dengan selebihnya melarikan diri.

“Empat bot terbabit tidak bertindak agresif, namun mengemukakan surat permohonan kononnya adalah bot kargo yang dalam perjalanan dari kepulauan Natuna ke Vietnam.

“Bagaimanapun bot terbabit tidak mempunyai kelulusan daripada kerajaan Malaysia, untuk menjalankan aktiviti dalam perairan negara ini, malah pemeriksaan menemui sejumlah hasil tangkapan laut dalam dua daripada empat bot yang ditahan itu,” katanya ketika sidang media hari ini.

Muhammad Suffi berkata, pada keesokannya harinya, sebuah lagi bot nelayan Vietnam ditahan, disusuli penahanan sebuah lagi bot bernombor pendaftaran tempatan namun semua kru adalah warga Vietnam.

Beliau berkata, secara keseluruhan 57 nelayan warga Vietnam ditahan dalam tiga operasi berasingan membabitkan kru dan tekong berusia antara 21 hingga 61 tahun, dengan nilai rampasan RM7 juta termasuk enam bot nelayan asing.

“Hasil ujian saringan mendapati dua daripada nelayan terbabit positif COVID-19 oleh Kementerian Kesihatan dan langkah pengasingan sudah dilakukan bagi mengelak penularan dalam kalangan tahanan dan kakitangan Maritim Malaysia.

“Kes akan disiasat mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan Malaysia, selain Seksyen 16(3) Akta Perikanan1985,” katanya.

Mengulas trend pencerobohan nelayan Vietnam di perairan negeri ini, beliau berkata, tahun lalu bagi tempoh Januari hingga April sebanyak 40 bot nelayan Vietnam ditahan, namun tahun ini hanya tujuh ditahan.

“Salah satu faktor kurang kes pencerobohan sekarang adalah ketegasan kerajaan Vietnam terhadap nelayan mereka memandangkan 70 peratus warga negaranya yang diusir pulang selepas ditahan adalah nelayan yang menceroboh perairan negara ini.

“Kedutaan mereka ada datang ke sini dan berbincang mengenai masalah ini dan difahamkan mereka akan menemui syarikat yang mengaji nelayan dan ke lokasi pemilik bot nelayan yang ditahan berdasarkan nombor pendaftaran untuk memberi pendidikan mengenai masalah pencerobohan ini,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN