6 Sebab Dibolehkan Mengumpat Yang Anda Perlu Ketahui

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

“Tahukah kamu apa itu ghibah (mengumpat)? Para sahabat menjawab: Hanya Allah dan Rasul-Nya sahaja yang lebih mengetahui. Baginda menyambung: Mengumpat itu, apabila kamu menyebutkan sesuatu yang dibenci oleh saudaramu! Sahabat bertanya: Bagaimanakah kalau sekiranya apa yang aku katakan itu memang betul ada pada saudaraku? Baginda menjawab: Kalau betul apa yang kamu katakan itu ada padanya, maka kamu sudah mengumpatnya. Dan kalau kamu katakan itu tidak ada padanya, maka kamu sudah menuduhnya.”
Riwayat Muslim, Abu Daud, al-Tirmizi dan al-Nasaie

Mengumpat sudah menjadi begitu lumrah dalam kehidupan kita sehari-hari, sehingga kita langsung tidak berasa bersalah tentangnya.

Apatah lagi pada pada zaman media sosial ini. Dengan hanya sekali klik, bahan umpatan terus dapat dikongsikan kepada beribu-ribu sahabat maya di internet.

Mengumpat adalah perkara mazmumah(amalan buruk) yang telah membarah dalam masyarakat. Ia boleh menjejaskan keharmonian hidup bermasyarakat dan boleh mencetuskan perbalahan.

Walaupun kita mengetahui bahawa mengumpat adalah perkara yang haram, tetapi tahukah anda mengumpat juga dibenarkan syarak dalam kes-kes tertentu sahaja.

Berikut adalah syarat-syarat dibenarkan mengumpat;

1.Apabila Berlaku Penganiayaan
Sesiapa yang mendapati dirinya dizalimi dibenarkan mengumpat dan menceritakan kepada hakim tentang penganiayaan yang dilakukan ke atas dirinya.

Jika orang yang dizalimi tidak dibenarkan mengumpat, maka sukarlah untuk dia menyebut dan menerangkan tentang keburukan-keburukan si jahat untuk membuktikan kezalimannya.

2.Membantu Mencegah Kemungkaran
Hari ini maksiat begitu berleluasa dalam masyarakat. Sebagai muslim, kita dituntut untuk mencegahnya. Oleh itu, tidak salah bagi seseorang muslim untuk meminta pertolongan muslim yang lain bagi mencegah maksiat.

Dalam konteks ini, menceritakan keburukan si pelaku maksiat adalah dibenarkan. Tetapi, biarlah ia diceritakan kepada orang yang dipercayai dan mampu untuk menasihati si pelaku maksiat.

Contohnya seorang pelajar mengumpat sahabatnya kepada ustaz di sekolah dengan tujuan agar si ustaz mampu mencegah perilaku buruk sahabatnya.

3. Meminta Fatwa Atau Penerangan
Dari Aisyah r.a, katanya:

Hindon Binti Utbah, isteri Abu Sufyan masuk menemui Rasulullah s.a.w. lalu bertanya: Ya Rasulullah, sesungguhnya Abu Sufyan adalah lelaki yang sanqat kedekut (bakhil), dia tidak memberi nafkah yang cukup untukku dan untuk anak-anakku, kecuali jika aku ambil saja hartanya (duitnya) tanpa pengetahuannya. Adakah aku berdosa kerana berbuat demikian? Maka jawab baginda Rasul s.a.w: Ambillah hartanya (duitnya) itu dengan baik yang boleh mencukupi keperluanmu dan keperluan anak anakmu. Riwayat Bukhari dan Muslim

Dalam konteks ini, perbuatan Hindun yang menceritakan keburukan suaminya kepada Rasulullah adalah dibenarkan kerana beliau ingin meminta fatwa bagi menyelesaikan masalah rumahtangganya.

Dalam kata lain, tujuan asal Hindun bukanlah ingin menceritakan kekikiran suaminya dalam pemberian nafkah tetapi niat beliau ialah bertanyakan hukum.

4. Mengambil Sikap Berjaga-Jaga
“Bumi mana yang tidak ditimpa hujan, laut mana yang tidak bergelora,”

Walau di mana sekalipun kita tinggal di bumi ini, pasti kita akan menjumpai pelbagai ragam manusia yang dipenuhi kebaikan dan keburukan.

Namun, dalam berhadapan dengan keburukan, sikap berjaga-jaga sangat penting agar seseorang itu tidak mudah dianiaya atau dizalimi.

Contohnya jika kita menyebut tentang keaiban seorang pemuda yang menagih dadah kepada jiran baru kita. Hal ini perlu didedahkan supaya mereka boleh berjaga-jaga sekiranya si pemuda itu bertindak di luar batasan atau akan memudaratkan mereka.

Dalam hal ini kita tidak boleh berdiam diri kerana ianya membabitkan soal keselamatan dan keharmonian hidup berjiran.

5. Sebagai Tanda Pengenalan
Dalam hidup kita, ada insan yang diuji Allah dengan kekurangan yang terdapat pada fizikalnya. Contohnya tempang, pekak ataupun buta.

Dalam hal ini, tiada larangan untuk menyebut kekurangan yang terdapat pada dirinya sebagai tanda pengenalan. Begitu juga dengan panggilan yang sudah menjadi kebiasaan.

Orang yang berkenaan tidak akan marah kerana sudah mahsyur dengan gelaran tersebut. Contohnya:

Karim: “Samad, siapa yang jadi imam masa solat subuh tadi?”
Samad: “Oh! Pak Mat tempang. Awal betul dia sampai pagi tadi.”

Justeru, penggunaan ‘Pak Mat tempang’ adalah dibenarkan meskipun ia menggambarkan kekurangan fizikal beliau. Walaubagaimanapun jika ada panggilan yang lebih baik dan masih senang untuk beliau dikenali, maka panggilan itulah yang harus diutamakan.

6. Pelaku Maksiat Terang-Terangan
Mengumpat juga dibolehkan kepada orang yang melakukan kejahatan secara terang-terangan. Contohnya Ariel Sharon dan Bashar Al-Assad, mereka adalah antara golongan yang terang-terangan berbangga diri dengan kejahatan mereka membunuh saudara muslim kita di Palestin dan Syria.

Dalam konteks ini, keburukan mereka boleh disebarkan agar sebagai muslim, kita tidak mudah terpedaya dengan agenda musuh yang sering memerangi Islam.

Jauhilah mengumpat yang sia-sia. Mengumpat, jika tidak kena pada syarat dan keadaannya akan menghancurkan dan menjatuhkan kehormatan diri seseorang.

Natijahnya, ia akan meledakkan persengketaan dan memutuskan silaturrahim. Kerana itulah, Islam amat membenci perbuatan mengumpat. Malah, jijiknya perbuatan itu sehingga ia disamakan seperti memakan daging saudaranya sendiri.

Firman Allah s.w.t bermaksud:

“Dan janganlah setengah daripada kamu mengumpat setengahnya yang lain. Apakah suka salah seorang kamu memakan daging saudaranya yang telah mati, tentu kamu akan menjijiknya, bukan?”

Justeru, marilah kita bersama-sama bermujahadah untuk tidak terjebak dengan umpatan yang keji dan hina ini. Peliharalah keaiban orang lain seperti mana kita suka apabila Allah memelihara keaiban kita.

Akhir kata, hayatilah pesanan indah daripada junjungan Nabi Muhammad s.a.w yang bermaksud:

“Sesiapa yang menjaga diri dari mengaibkan saudaranya, maka Allah pasti akan membebaskannya dari api neraka.”

Sumber: TZKRH.COM