60 rumah rosak dilanda ribut

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: “Selama 25 tahun menetap di Felda Lakum, Lanchang sebagai peneroka, ini kali pertama rumah saya dilanda ribut.

“Dalam masa kira-kira 15 minit sahaja, keseluruhan atap zink ruang tamu dan sebahagian dapur rumah saya diterbangkan angin kencang yang menyebabkan kerugian lebih RM20,000,” kata Ismail Adnan, 70.

Dalam kejadian ribut pada jam 5 petang, kelmarin, sebanyak 60 rumah peneroka Felda Lakum mengalami kerosakan pada bahagian bumbung.

Kejadian sama turut berlaku di Kampung Belengu, di sini, Isnin lalu yang menyebabkan enam rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap.

Ismail berkata, semua barangan serta perabotnya turut mengalami kerosakan selepas hujan lebat masuk ke dalam rumah.

“Walaupun terpaksa menanggung kerugian besar namun saya bersyukur tidak berlaku sebarang kecederaan terutama apabila semua atap diterbangkan angin kencang dalam sekelip mata.

“Saya reda dengan apa yang berlaku dan yakin pasti ada hikmahnya. Bantuan yang diterima dapat meringankan beban ditanggung kami,” katanya selepas menerima bantuan bencana daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Baitulmal dan Operasi MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman, semalam.

Sementara itu, Asmadi berkata, MUIP menyediakan peruntukan sebanyak RM23,500 sebagai bantuan bencana yang diagihkan kepada 66 mangsa ribut di daerah ini.

Menurutnya, setiap mangsa menerima bantuan wang tunai antara RM200 hingga RM1,500 bergantung pada jumlah kerugian yang dialami.

“Bantuan bencana yang disediakan MUIP diharap dapat meringankan beban mangsa bagi menampung kos baik pulih rumah yang rosak.

“Kebanyakan rumah mengalami kerosakan pada bahagian atap dan kayu yang patah diterbangkan angin kencang,” katanya yang turut melawat beberapa rumah mengalami kerosakan.

Sumber: My Metro