62.3 peratus responden belum sedia makan di kedai

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kaji selidik dijalankan sebuah institusi pengajian tinggi mendapati ramai dalam kalangan masyarakat masih belum bersedia untuk makan di kedai walaupun kerajaan sudah memberikan kelonggaran mulai 20 Ogos lalu.

Daripada 1,044 responden terbabit dalam kaji selidik oleh Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati 62.3 peratus menyatakan mereka tidak bersedia lagi untuk makan di kedai .

Kelonggaran bagi aktiviti sosial yang meliputi makan di restoran serta aktiviti riadah itu diberikan kepada individu yang sudah lengkap vaksinasi di negeri Fasa Satu Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Sebanyak 20.8 peratus responden kaji selidik itu pula menyatakan mereka sudah makan di restoran sekali, sementara 8.8 peratus sudah dua kali serta empat peratus lagi mengakui lebih daripada dua kali makan di restoran.

Peratusan tinggi responden yang tidak sedia makan di restoran iaitu 59.4 peratus menyatakan mereka bimbang dengan bilangan kes harian tinggi, sebanyak 57.9 peratus pula beri alasan berasa tidak selamat makan di kedai walaupun patuh prosedur operasi standard (SOP) ketat manakala 33 peratus memberi alasan tiada beza makan kedai atau bawa pulang.

Selain itu faktor lain mereka tidak merancang untuk makan di kedai ialah kerana belum menerima dua dos vaksin iaitu membabitkan sebanyak 27.8 peratus, selain merasakan makan di kedai akan meningkatkan tekanan mental (12 peratus).

Bagi mereka yang merancang untuk kembali makan di kedai, mereka yakin premis perniagaan mengamalkan SOP ketat iaitu membabitkan seramai 56.7 peratus responden, diikuti 48.4 peratus lengkap terima dua dos vaksin, kes harian tinggi tidak membimbangkan (32.2 peratus) dan makan di luar boleh mengurangkan tekanan mental (23.6 peratus).

Oleh itu, Pusat Penyelidikan Undian UCSI mendapati keputusan kaji selidiknya itu tidak menunjukkan perubahan besar dalam kesediaan orang awam untuk makan di kedai pada masa terdekat.

Ia bagaimanapun menunjukkan mereka yang sudah mula makan di luar mungkin lebih kerap melakukannya berdasarkan faktor mengapa mereka terbuka untuk menikmati kelonggaran sosial itu.

Secara umumnya, orang ramai berasa tidak selamat makan di kedai walaupun dengan mematuhi SOP yang ketat memandangkan laporan kes harian COVID-19 yang masih tinggi.

Walaupun populasi yang sudah divaksin adalah kunci utama untuk mencapai imuniti kelompok namun orang ramai mungkin kembali yakin untuk melakukan aktiviti ekonomi serta makan di kedai sekiranya kes harian COVID-19 berkurangan.

Sumber: Berita Harian