630 bakul makanan bantu golongan sektor perikanan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Sebanyak 630 bakul makanan akan diserahkan kepada kumpulan sasar sektor perikanan yang terkesan akibat pandemik COVID-19 melalui program Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) Prihatin.

Pelaksanaan Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Rakan Strategik Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) itu akan dimulakan di Pulau Tioman, Pahang, diikuti Port Dickson, Negeri Sembilan; gugusan Kepulauan Lima, Johor; Pulau Pinang; Pulau Redang dan Pulau Perhentian (Terengganu), Melaka serta Selangor.

Menterinya, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee, berkata pihaknya komited membantu golongan sasar terkesan akibat COVID-19 dan pelaksanaan program MAFI Prihatin itu membabitkan penyertaan semua jabatan serta agensi kementerian itu, selain pihak swasta serta pemain industri sebagai rakan strategik.

“Secara keseluruhan, 630 bakul makanan akan diserahkan kepada kumpulan sasar sektor perikanan bagi pelaksanaan program MAFI Prihatin melalui DOF.

“Sehingga kini, 11 rakan strategik membabitkan 10 agropreneur perikanan dan satu persatuan menyampaikan sumbangan bernilai RM34,500,” katanya yang menyempurnakan simbolik penyerahan program MAFI Prihatin di perkarangan Wisma Tani, Putrajaya, di sini, hari ini.

Enam wakil daripada 11 rakan strategik DOF hadir menyerahkan bakul makanan kepada MAFI sebagai simbolik sumbangan kepada program itu.

Hadir sama, Timbalan Menteri MAFI 1, Datuk Ahmad Hamzah, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) MAFI, Datuk Badrul Hisham Mohd dan Ketua Pengarah DOF, Ahmad Tarmidizi Ramly.

Bantuan MAFI Prihatin juga diberikan kepada golongan terkesan akibat banjir dan bencana alam serta kepada badan kebajikan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang memerlukan.

Secara keseluruhannya, sejak 1 Jun hingga 8 Ogos lalu, seramai 71,491 penerima di 400 lokasi seluruh negara menerima manfaat bantuan MAFI Prihatin disampaikan melalui pelbagai jabatan dan agensi kementerian dengan nilai bantuan mencecah lebih RM5.4 juta.

Dalam menyokong Pelan Pemulihan Negara (PPN), program bantuan itu juga menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus memerangi pandemik.

Sumber: Berita Harian