65 Saman Dikeluarkan Dalam Operasi Sempena Himpunan RXZ 6.0

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Polis mengeluarkan 65 saman dan menyita 15 buah motosikal yang dikesan melakukan pelbagai kesalahan dalam operasi khas dijalankan sempena himpunan RXZ Members 6.0.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten KomisionerAzli Mohd Noor berkata, tindakan itu diambil menerusi operasi dijalankan bermula jam 5 petang hingga 11.59 malam di sekitar pusat bandar di sini pada Sabtu.

Menurutnya, antara kesalahan paling tinggi dikesan adalah mengubah suai ekzos, tiada cermin sisi dan tiada nombor pendaftaran.

“Kita mengesan pelbagai kesalahan dilakukan hasil pemeriksaan terhadap 35 buah motosikal dan 25 individu.

“Selain itu, kita turut menyita 15 motosikal pelbagai jenis dalam operasi tersebut dimana tindakan berkenaan dijalankan di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana melakukan ubah suai dengan menukar ekzos bising dan komponen lain menyalahi undang-undang,” katanya di sini, pada Ahad.

Bagaimanapun, beliau berkata, tiada sebarang tangkapan yang dilakukan dalam operasi tersebut.

Dalam perkembangan sama, katanya tiada sebarang laporan diterima berhubung kehilangan motosikal atau kemalangan membabitkan peserta RXZ Members di daerah Kuala Terengganu dan Kuala Nerus.

Program himpunan RXZ Members 6.0 yang berlangsung selama dua hari bermula Jumaat hingga Sabtu di Litar Permotoran Terengganu, Gong Badak di Kuala Nerus itu menarik lebih 40,000 peserta seluruh negara.

– SINAR HARIAN