68 kambing boer seludup dirampas

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Tumpat: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 68 kambing baka boer yang dianggarkan bernilai RM102,000 di Kampung Jubakar Darat di sini, tengah malam.

Pegawai Pemerintah Batalion 9 PGA Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, anggotanya sedang melakukan rondaan di kawasan terbabit sebelum ternampak sebuah lori dipandu dalam keadaan mencurigakan pada 12.30 tengah malam.

“Anggota kami mengarahkan pemandunya berhenti dan pemeriksaan di bahagian belakang kenderaan itu ditemukan 68 kambing baka boer.

“Apabila diminta mengemukakan dokumen atau permit sah membawa muatan kambing itu, pemandu berusia 37 tahun itu gagal berbuat demikian,” katanya ketika dihubungi di sini.

Nor Azizan berkata, kambing itu dipercayai diseludup dari Thailand untuk pasaran tempatan dan luar Kelantan bergantung kepada permintaan.

Katanya, kambing, kenderaan serta pemandu lori dibawa ke Balai Polis Simpangan untuk laporan dan tindakan selanjutnya.

“Semua kambing itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Kelantan dan kes disiasat mengikut Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953,” katanya.

Sumber: My Metro