Masjid merupakan tempat beribadah bagi umat Muslim untuk mengerjakan solat wajib mahupun sunat ataupun mengerjakan ibadah lain. Masjid pertama dibina ialah Masjid Quba yang dibina ketika zaman Nabi Muhammad SAW. Perkembangan Islam di seluruh dunia turut mempengaruhi kreativiti seni rekaan sesebuah masjid di sesuatu tempat.
Berikut adalah 7 masjid yang unik seni rekanya :
- Masjid Saints Petersberg, Russia
Siapa sangka rekaan bertemakan oriental dan hiasan mozek biru ini rupanya merupakan sebuah masjid yang terletak di Rusia. Masjid ini merupakan masjid terbesar di Rusia dan mampu menampur 5 ribu jemaah pada satu-satu masa. Menariknya, masjid ini mula dibina pada tahun 1910 dan telah berjaya disiapkan pada tahun 1913 yang mana pada ketika itu di Rusia kaum Muslimin hanya berjumlah sekitar 8000 orang. Selain itu, masjid ini turut dikenali sebagai Masjid Biru atau The Blue Mosque.
Tujuan masjid ini dibina adalah untuk menghormati Emir Bukhara dan sekaligus mengiktiraf penggabungan Asia Tengah dan Rusia. Pada tahun 1956, Soekarno yang merupakan Presiden Indonesia pada waktu itu melawat masjid ini yang mana pada ketika itu masjid ini menjadi gudang. Namun atas permintaan Soekarno yang meminta gudang itu dijadikan masjid semula, akhirnya masjid ini ditukar menjadi masjid setelah 10 hari permintaan Soekarno.
2. Masjid Nasir al Mulk , Iran
Masjid yang becirikan elemen tradisional dan terletak di Shiraz ini juga dikenali sebagai Masjid Merah Jambu. Masjid ini mengandungi kaca berwarna yang luas di fasadnya, dan memaparkan unsur-unsur tradisional lain seperti reka bentuk Panj Kāse (lima lekuk). Masjid ini telah dibina semasa era Qajar serta dibina dari tahun 1876 sehingga 1888 atas arahan Mirza Hasan Ali (Nasir al-Mulk), iaitu seorang pemerintah Qajar.
3. Masjid Agung Kuwait
Masjid ini telah dibina dalam tempoh lapan tahun bermula tahun 1979 sehingga tahun 1986. menggabungkan seni reka tradisional dan moden. Mihrabnya merupakan inspirasi dari Maghribi dan dihiasi dengan lukisan geometri pelbagai warna.
4. Masjid Sultan Ahmed, Turki
Masjid ini ialah satu daripada beberapa buah masjid yang dikenali sebagai Masjid Biru oleh kerana jubin birunya yang menghiasi dinding di bahagian dalamnya. Ia dibina antara tahun 1609 dan 1616, sewaktu pemerintahan Ahmed I. Masjid Sultan Ahmed telah menjadi salah satu tarikan pelancong yang terhebat di Istanbul.
5. Masjid Sheikh Zayed, Abu Dhabi
Masjid Sheikh Zayed ialah masjid ketiga terbesar di dunia. Masjid ini terletak di Abu Dhabi, ibu negara Emiriah Arab Bersatu. Masjid ini dinamakan sempena Sheikh Zayed bin Sultan Al Nahyan, pengasas dan presiden pertama Emiriah Arab Bersatu yang juga dikebumikan di sana. Masjid ini dibuka dengan rasminya pada bulan Ramadhan tahun 2007.
Masjid Sheikh Zayed memegang beberapa rekod dunia iaitu memiliki permaidani yang terbentang luas di masjid yang terpanjang di dunia dan mempunyai candelier (lampu lilin) terbesar dunia.
6. Masjid Jami Ul Alfar, Sri Lanka
Masjid yang terletak di Secon Cross Street. Kolombo Sri Lanka ini tampak unik dengan gabungan warna merah putih. Masjid ini turut dikenali dengan nama Samman Kottu Palli. Terdapat 12 menara kecil dan 2 buah menara besar di masjid ini. Tiang-tiang di masjid ini diserikan dengan tulisan kaligrafi yang sangat indah.
7. Masjid Cologne Central, Jerman
Masjid Cologne Central di Jerman ini adalah masjid terbesar di negara ini. Masjid ini siap dibina pada tahun 2017dan dirasmikan oleh Presiden Jerman dan Turki. Ciri rekaan yang minimalis dan tampak futuristik ini yang menjadikan masjid ini begitu “wow”.