PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan sebanyak 70.6 peratus atau 23,052,952 populasi negara sudah memperoleh vaksinasi lengkap setakat tengah malam tadi.
Data melalui laman sesawang COVIDNOW menunjukkan, sebanyak 134,684 dos vaksin diberikan semalam, dengan 118,575 daripadanya adalah dos lengkap, dos penggalak (1,365) dan sebanyak 14,744 adalah dos pertama.
Daripada bilangan dos vaksin diberikan semalam, sebanyak 106,858 dos diberikan kepada remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun iaitu 8,129 untuk dos pertama dan 98,729 lagi sudah melengkapkan vaksinasi masing-masing.
Pada masa sama, sebanyak 27,826 dos diberikan kepada individu berusia 18 tahun ke atas membabitkan 1,365 dos penggalak, 6,615 dos pertama dan 19,846 dos lengkap.
Ini menyumbang kepada sejumlah 48,181,111 dos yang sudah diberikan kepada populasi Malaysia, termasuk sebanyak 25,256,025 untuk dos pertama dan 32,121 dos penggalak.
Setakat semalam juga, seramai 1,039,689 atau 33.0 peratus remaja berusia antara 12 hingga 17 tahun di negara ini sudah divaksinasi.
Sementara itu, sebanyak 69 kematian akibat jangkitan COVID-19 setakat tengah malam tadi dengan 11 daripada kematian itu membabitkan kes meninggal dunia di luar fasiliti kesihatan (BID).
Bilangan kematian yang direkodkan semalam menyumbang kepada 28,062 kematian akibat COVID-19 di negara ini, setakat tengah malam semalam.
Daripada jumlah itu, 22,396 kematian ketika pesakit dirawat di hospital manakala 5,666 membabitkan kes BID.
Selain itu, setakat semalam, KKM turut melaporkan sebanyak 85,916 kes aktif daripada keseluruhan sejumlah 2,396,761 kes positif COVID-19 yang dilaporkan di negara ini.
Sumber: Berita Harian