70 Peratus Peserta PEKB Berjaya Tambah Pendapatan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU: Kira-kira 70 peratus peserta kursus Pemerkasaan Ekonomi Komuniti Bandar (PEKB) di bawah seliaan Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya mencapai sasaran dengan memperoleh pendapatan lebih RM600 sebulan.

Ketua Penolong Setiausaha KPKT, Siti Nor Asyra Mohd Ayob berkata, data itu diperoleh berdasarkan penilaian dan pemantauan yang dijalankan dalam tempoh dua kali setahun selepas peserta menamatkan kursus masing-masing.

Beliau berkata, kerajaan dengan kerjasama badan bukan kerajaan (NGO) yang terbabit akan memantau peserta bagi memudahkan perjalanan program PEKB dalam usaha memastikan ia mencapai sasaran ditetapkan.

Katanya, NGO yang dilantik diminta berkongsi maklumat pendapatan peserta setiap bulan selama enam bulan kepada kementerian bagi tujuan penilaian prestasi peserta dengan kebanyakan mereka berjaya mencapai sasaran pendapatan yang ditetapkan iaitu RM600 atau lebih.

“Bagi mereka yang sudah melepasi sasaran ditetapkan dan berpotensi tinggi, kita akan bantu mereka menimba pengalaman di program-program lain yang ada.

“Kita juga tidak akan meminggirkan peserta yang tidak berjaya melepasi sasaran ditetapkan apabila mereka juga akan terus dibantu bagi meningkatkan pendapatan dan taraf hidup mereka.

“Setiap tahun, kita menyasarkan seramai 1,000 peserta dan setakat ini, seramai 835 orang sudah menyertai program ini yang dilaksanakan bertujuan meningkatkan kemahiran seterusnya meningkatkan pendapatan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kursus PEKB di sini hari ini.

Peserta, Mohd Azlin Ghazali, 42, dari Marang berkata, dia bersyukur kerana terpilih menjadi peserta program PEKB yang memberi banyak ilmu baharu untuk menambah pendapatan keluarga.

“Ini kali pertama saya menyertai program seumpama ini dan memang teruja kerana kami dibantu 100 peratus tanpa perlu mengeluarkan wang dan tentunya saya akan berusaha sebaik mungkin untuk memanfaatkan peluang yang ada,” katanya yang menjual nasi bajet.

Bagi Norzana Aishah Sakaria@Zakaria, 50, berkata, peluang diberikan itu akan digunakan untuknya mempelbagaikan produk makanan yang sebelum ini diusahakan secara kecil-kecilan berikutan kekangan daripada segi peralatan.

“Sebelum ini, saya menjual kuih secara kecil-kecilan dan hari ini, memang gembira apabila bukan saja diberikan ilmu pengetahuan tetapi diberikan barangan perniagaan secara percuma untuk meningkatkan hasil jualan,” katanya yang berasal dari Dungun.

Sumber: METRO