75 anak yatim piatu kematian ibu bapa akibat Covid-19 di Pahang dibantu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seramai 75 anak-anak yang menjadi yatim piatu disebabkan ibu bapa meninggal dunia akibat Covid-19 di seluruh negeri ini akan dibantu bagi memastikan kebajikan mereka terbela.

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pelajaran negeri Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad berkata, kerajaan negeri melalui Yayasan Pahang (YP) dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) akan membantu anak-anak berkenaan.

Kata Syed Ibrahim, berdasarkan persetujuan, bantuan yang akan disalurkan YP ialah daripada segi biasiswa sekolah rendah dan menengah manakala JKM pula lebih kepada bantuan bulanan.

“Ia diharap dapat membantu kerana 75 anak-anak yatim piatu ini ada yang tinggal bersama ibu saudara, nenek dan ibu angkat.

“Kerajaan negeri bersetuju bahawa YP dan JKM mengambil tanggungjawab untuk membantu anak-anak yatim piatu ini,” katanya pada sidang media selepas meninjau operasi Pejabat Agama Islam Daerah (Paid) Kuantan Barat di sini, hari ini.

Mengulas operasi Paid Kuantan Barat yang mula beroperasi hari ini, beliau berkata, ia adalah inisiatif Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al Sultan Abdullah Riayatuddin Al Mustafa Billah Shah.

Kata Syed Ibrahim, baginda berasa pentadbiran agama Islam di Kuantan perlu diperluaskan memandangkan jumlah penduduknya semakin ramai.

“Oleh itu, Kuantan kini memiliki dua pentadbiran agama iaitu Paid Kuantan dan Paid Kuantan Barat bagi memudahkan urusan keagamaan.

“Skop perkhidmatannya membabitkan pengurusan nikah, cerai dan rujuk serta pengurusan masjid, surau dan tanah perkuburan.

“Selain itu, ia turut membabitkan pengurusan kelas al-Quran dan fardu ain, guru al-Quran asrama serta penguatkuasaan kesalahan jenayah syariah,” katanya.

Sumber: My Metro