7,599 petugas kesihatan dijangkiti COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan (KKM) merekodkan seramai 7,599 atau 3.05 peratus petugas kesihatan dijangkiti COVID-19 hasil saringan berkala.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata daripada jumlah itu hanya 17 kes atau 0.22 peratus yang berada dalam Kategori tiga, empat dan lima.

“Dimaklumkan juga dua kes kematian dalam kategori lima,” katanya dalam satu hantaran melalui media sosial hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, pemberian vaksin berfungsi mengurangkan keparahan dan kematian akibat jangkitan kerana tiada vaksin yang berkesan 100 peratus.

“(Ia) bukan sifarkan keparahan dan kematian,” katanya.

Berdasarkan kepada graf disertakan dalam hantaran itu, seramai 5,135 atau 67.6 peratus daripada 7,599 petugas kesihatan yang sudah melengkapkan vaksinasi yang dijangkiti berada dalam kategori dua iaitu mengalami gejala ringan.

Pada masa sama, sebanyak 32.2 peratus daripada petugas kesihatan yang dijangkiti itu berada dalam kategori satu membabitkan seramai 2,447 orang, manakala kategori tiga (mengalami radang paru-paru), kategori empat (memerlukan bantuan oksigen) dan kategori lima yang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) masing-masing mencatatkan seramai 10, empat dan tiga kes.

Sumber: Berita Harian