KOTA BHARU – Jambatan Denai Sungai Pengkalan Datu, Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian yang tular sehingga menjadi lokasi tumpuan pelancongan terbaharu di Kelantan sejak sebulan lalu, kini ditutup bagi mengelak penularan pandemik koronavirus (Covid-19).
Penutupan jambatan daripada kunjungan orang ramai itu dibuat atas arahan Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran Kelantan berkuat kuasa hari ini sehingga 6 Januari tahun depan.
Penghulu Mukim Pulau, Zamri Awang Ahmad berkata, lima papan tanda pemberitahuan dipacakkan di lima laluan dan pintu masuk jambatan sepanjang 820 meter itu antara Kampung Pulau Tengah sehingga Pengkalan Demit.
Menurutnya, penduduk kampung juga sepakat menyokong penutupan sementara jambatan itu berikutan kebimbangan terhadap trend peningkatan kes Covid-19 di negeri ini khususnya di Bandar Baharu Kubang Kerian.
“Saya dimaklumkan penutupan jambatan sebagai langkah pencegahan awal bagi mengelakkan kes Covid-19 berlaku di kawasan ini kerana menerima kunjungan terlalu ramai pelancong dari dalam dan luar negara.
“Dianggarkan kira-kira 500 pengunjung datang beriadah di jambatan ini pada hari biasa manakala jumlahnya mencecah 1,000 orang pada setiap hujung minggu dan hari cuti persekolahan,” katanya ketika ditemui di pintu masuk jambatan berkenaan hari ini.
Papan tanda pemberitahuan berhubung penutupan Jambatan Denai Sungai Pengkalan Datu didirikan di pintu masuk oleh pekerja pembinaan sambil diperhatikan Zamri Awang (kiri) di Kampung Pulau Tengah, Kubang Kerian, Kota Bharu hari ini.
Beliau berkata, pihaknya bersama penduduk akan melakukan pemantauan secara kerap di kawasan sekitar jambatan bagi mengelakkan pencerobohan dan meminta kerjasama orang ramai agar mematuhi arahan.
“Penutupan ini untuk kebaikan bersama walaupun saya tahu ramai yang datang untuk beriadah di sini seperti hari ini hampir 100 pengunjung yang datang berasa kecewa kerana tidak dapat bersiar-siar di atas jambatan ini kerana ditutup.
“Sejak jambatan dirasmikan pada 21 Oktober lalu, lokasi ini berubah menjadi destinasi pelancongan malahan turut menjana sumber ekonomi penduduk yang mula membuka perniagaan di kawasan sekitar,” katanya.
Sementara itu, tinjauan Sinar Harian mendapati cuaca hujan tidak menghalang para pengunjung yang masih ramai datang untuk beriadah selain merakam kenangan di atas jambatan yang dibina daripada batang pokok nibong.
Begitupun, mereka dilihat akur terhadap arahan pada papan tanda dan tidak melalui jambatan tersebut.
Sumber: Sinar Harian