88 menara telekomunikasi selesaikan masalah internet Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Setiu: Pembinaan 88 menara telekomunikasi baharu di Terengganu dijangka dapat menyelesaikan masalah liputan internet yang lemah terutama di kawasan luar bandar.

Pembinaan itu menerusi inisiatif Pelan Jalinan Digital Negara (Jendela).

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, daripada jumlah berkenaan, 13 menara sudah disiapkan, 10 menara telekomunikasi masih dalam pembinaan, manakala 65 lagi dalam proses akhir tender.

Menurutnya, sebanyak 409 menara komunikasi sedia ada pula dinaik taraf kepada capaian 4G dengan 88 daripadanya sudah selesai proses itu, manakala selebihnya akan siap berperingkat menjelang hujung tahun ini.ADVERTISING

“Selain itu, 38,216 premis dinaik taraf kepada talian tetap fiber optik dengan sebanyak 22,609 premis telah siap dipasang dan selebihnya akan siap secara berperingkat menjelang hujung tahun depan.

“Ketika ini, terdapat 64 pusat internet komuniti (PIK) beroperasi di seluruh Terengganu dengan dua lagi PIK baharu dalam peringkat akhir tender,” katanya ketika melawat tapak penaiktarafan jalur lebar 4G di Kampung Payong di sini, hari ini.

Ariffin berkata, inisiatif Jendela banyak memberikan impak positif kepada Terengganu dengan peningkatan liputan 4G daripada 93.54 peratus pada tahun lalu kepada 93.83 peratus, Mac tahun ini.

Katanya, menerusi fasa satu inisiatif itu, liputan 4G akan ditingkatkan kepada 96.9 peratus selain jalinan fiber optik ditambah meliputi lebih 38,000 premis baharu di seluruh Terengganu.

“Melalui kerjasama antara kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), ia akan memberikan liputan jalur lebar kelajuan tinggi yang lebih menyeluruh di Terengganu, dalam menyokong keperluan ekonomi digital, penyampaian aplikasi digital kerajaan negeri dan pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) khususnya di kawasan kurang liputan, “katanya.

Media sebelum ini melaporkan hampir 100 murid dan pelajar di Kampung Payong di sini terpaksa menjalani PdPR di pondok rekreasi di tepi jalan dan bangsal buruk dalam ladang kelapa sawit disebabkan kesukaran mendapatkan liputan internet.

Sumber: My Metro