PUTRAJAYA: Sebanyak 89.1 peratus populasi dewasa di negara ini, sudah memperoleh vaksinasi lengkap setakat tengah malam tadi.
Data yang dipaparkan laman sesawang COVIDNOW juga menunjukkan setakat tengah malam tadi sejumlah 45,204,479 dos sudah diberikan kepada penduduk di Malaysia.
Semalam, sejumlah 86,639 dos vaksin disuntik dengan 16,870 sebagai dos pertama, manakala 69,769 dos vaksinasi lengkap.
Pada masa sama, sebanyak 4.7 peratus remaja berusia 12 hingga 17 tahun, sudah menerima suntikan vaksin COVID-19 yang lengkap setakat semalam, manakala 68.5 peratus sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos.
Ia menyumbang kepada 64.3 peratus atau 21,004,275 populasi negara yang sudah mendapatkan pelalian lengkap terhadap COVID-19.
Setakat semalam, dua negeri masih merekodkan peratusan vaksinasi lengkap bawah 50 peratus iaitu Kelantan dengan 47.6 peratus dan Sabah dengan peratusan terendah iaitu 45.5 peratus.
Negeri lain yang menunjukkan vaksinasi lengkap bawah 60 peratus adalah Perak dengan 58.1 peratus; Kedah (55.9 peratus); Pahang (55.8 peratus); dan Terengganu (55.7 peratus).
Lembah Klang mencatatkan peratusan vaksinasi lengkap tertinggi iaitu sebanyak 82 peratus, diikuti Negeri Sembilan dengan 71.2 peratus; Labuan (70 peratus); Pulau Pinang dan Sarawak masing-masing dengan 67.7 peratus; Perlis (66.2 peratus); Melaka (64.9 peratus) dan Johor (61.8 peratus).
Setakat semalam juga, seramai 8,347,752 atau 25.5 peratus daripada populasi negara yang masih belum mendapatkan pelalian terhadap COVID-19.
Sumber: Berita Harian