Bagi meredakan sedikit ketegangan orang ramai dalam menghadapi pandemik Covid-19 yang mana kita diuji dengan pelbagai ujian, salah seorang pengguna Twitter menyarankan supaya orang ramai mengamalkan surah Al-Waqiah.
Dalam postingnya, dia menyeru orang ramai supaya membaca surat tersebut setiap malam sebelum tidur kerana terdapat banyak kebaikan pada surah tersebut.
Tidak dinafikan terdapat pelbagai surah yang mempunyai kelebihannya tersendiri di dalam al-Quran dan salah satunya adalah surah Al-Waqiah.
Surah Al-Waqiah merupakan surah yang dikenali sebagai salah satu surah yang penuh barakah dan memiliki banyak khasiat kepada manusia.
Berikut merupakan kelebihan surah Al-Waqiah dalam kehidupan seharian kita. Antaranya adalah seperti:
1. Beroleh pelbagai kesenangan
Khasiat surah Al-Waqiah ini akan jelas terlihat apabila anda mengamalkannya sebagai wirid dan rutin surah yang sering dibaca setiap hari.
Apabila anda kerap kali membaca surah Al-Waqiah sebagai rutin siang dan malam, bukan sahaja hati akan terasa tenang malah anda tidak pernah akan merasa kesempitan wang ringgit.
Rezeki dalam pelbagai bentuk akan sentiasa melimpah-ruah tanpa anda sedari.
Ramai yang tidak menyedari selain harta sebagai rezeki, kesihatan, kebahagiaan dan pekerjaan juga adalah rezeki dan kesenangan atau dengan kata lain disebut juga sebagai nikmat. Inilah kelebihan surah Al-Waqiah yang melimpahkan rezeki anda.
2. Dijauhkan dari kemiskinan
Apabila seorang muslim itu mengamalkan surah Al-Waqiah sekurang-kurangnya satu kali setiap malam, secara tidak langsung dia akan dijauhkan dari kemiskinan selamanya.
Rasulullah juga pernah bersabda yang bermaksud barangsiapa yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam, nescaya kebuluran tidak akan sekali-kali menimpanya.
Rasulullah yang merupakan utusan Allah yang mulia itu sendiri mengajarkan puteri-puterinya dan isteri-isterinya supaya membaca surah Al-Waqiah pada setiap malam. Oleh itu, kita sebagai seorang manusia biasa seharusnya rajin untuk mengamalkannya dalam kehidupan seharian.
3. Dikurniakan kekayaan yang melimpah ruah
Dengan mengamalkan surah Al-Waqiah dengan membacanya sebanyak 14 kali selepas selesai solat Asar, InsyaAllah akan dikurniakan oleh Allah kekayaan yang berlimpah-ruah dan datang dalam pelbagai bentuk.
4. Ditunaikan segala hajatnya
Sesetengah orang berpendapat, seorang muslim itu harus mengamalkan surah Al-Waqiah ini sebanyak 41 kali dalam satu majlis supaya segala hajatnya akan dimakbulkan terutamanya berkaitan dengan rezeki.
Sebahagian ulamak pula berfatwa bahawa sesiapa sahaja yang membaca surah Al-Waqiah pada setiap hari dan malam dalam satu majlis sebanyak 40 kali selama 40 hari, sesungguhnya Allah akan mempermudah rezekinya dan menunaikan hajatnya.
5. Menjadi seorang yang lebih bersyukur
Sekiranya anda sering mengamalkan membaca surah Al-Waqiah dalam kehidupan seharian, secara tidak langsung akan memperoleh kekayaan yang luar biasa.
Amalkan membaca surah Al-Waqiah sebanyak tiga kali selepas solat Subuh dan tiga kali selepas solat Isyak. Insya-Allah anda akan menjadi orang kaya yang sentiasa bersyukur dan tidak kedekut untuk berkongsi rezeki dengan yang memerlukan.
6. Menjauhkan diri dari sifat riak dan bongkak
Kelebihan membaca surah Al-Waqiah juga dapat menghindarkan diri dari menjadi bongkak dan riak.
Kita akan dilimpahkan rezeki yang pelbagai dan secara tidak langsung, kita juga akan dapat menghindari dari sifat riak dan bongkak apabila memiliki sebarang kekayaan atau kesenangan dunia.
7. Menjadikan raut wajah lebih berseri-seri
Membaca dan mengamalkan surah Al-Waqiah juga boleh menyumbang kepada naiknya seri dan aura wajah seseorang.
Selain mengamalkan bacaan selepas solat, anda boleh mengambil segelas air dan bacalah surah Al-Fatihah sekali dengan surah Qursi dan juga surah Al-Waqiah bermula dari ayat 35 hingga 38 sebanyak tujuh kali. Tiup kepada air tersebut dan minum air tersebut.
Dalam hati, berniatlah untuk menjaga kecantikan diri dan kebahagiaan keluarga anda, Insya-Allah raut wajah akan nampak jernih dan berseri-seri.
8. Menjadi mukmin yang sejati, lebih sufi dan lebih mendekatkan diri kepada Allah
Untuk lebih mendekatkan diri kepada Allah Swt, surah Al-Waqiah juga menjadikan asbab untuk anda berubah.
Petua Syeikh Abi’l Abbas, untuk surah Al-Waqiah, anda perlu berpuasa terlebih dahulu selama tujuh hari dimulai pada hari Jumaat dan berakhir pada hari Khamis.
Dalam 7 hari itu, setelah selesai solat fardhu, hendaklah membaca Surah Al-Waqiah sebanyak 25 kali manakala pada hari terakhir berpuasa iaitu pada malam Jumaat, bacalah surah Al-Waqiah ini sebanyak 125 kali kemudian disusuli dengan selawat sebanyak 1000 kali.
Dengan melaksanakan amalan ini, secara tidak langsung anda dapat mendekatkan diri kepada Allah dan seterusnya menjadikan anda mukmin yang lebih sejati dan bersifat sufi. Anda boleh jadikannya sebagai amalan sunat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
9. Permudahkan orang sakit atau bersalin
Surah Al-Waqiah ini juga sesuai diamalkan dan dibaca di sisi mayat atau orang yang sedang nazak. Kelebihan surah Al-Waqiah ini adalah untuk memudahkan roh keluar dari jasadnya dan mengurangkan kesakitan. Ia dapat mengelakkan daripada mereka terus nazak dan lebih menderita.
Boleh juga diamalkan dan dibaca di sisi wanita yang hendak bersalin supaya urusan bersalin lebih cepat dan dipermudahkan.
Itulah dia kelebihan surah Al-Waqiah menjemput rezeki dan memudahkan urusan.
Jelaslah bahawa surah Al-Waqiah mempunyai pelbagai khasiat dan fadhilat yang ramai tidak tahu.
Sumber: SINAR PLUS