KOTA BHARU – Persiapan Aidilfitri sembilan keluarga musnah dalam kebakaran di Berek 12, di sini, hari ini.
Dugaan empat hari sebelum Aidilfitri itu berlaku pada 9.35 pagi dengan lima daripada kediaman itu hangus 100 peratus, manakala empat lagi hanya 20 peratus.
Seorang mangsa, Nor Aiza Salleh, 42, berkata dia terdengar bunyi letupan seakan mercun bola di atas bumbung rumahnya, namun tidak diendahkan.
Menurutnya, dia kemudian terdengar satu lagi bunyi letupan sama di rumah ibunya, Zaharah Mat, 70, yang terletak bersebelahan lalu berasa tidak sedap hati dan segera pergi ke rumahnya.
“Saya memanggil emak agar membuka pintu kerana berkunci dari dalam, tapi tidak didengarinya menyebabkan saya menendang pintu berkali-kali, namun gagal.”
“Tidak lama kemudian, emak membuka pintu dengan gayung di tangan berisi air dan menjerit memberitahu ada api di dalam bilik tidurnya,” katanya.
Nor Aiza berkata, dia terus mengisi air dalam baldi dengan berulang-alik cuba memadamkan api, namun ia semakin marak menyebabkan mereka keluar menyelamatkan diri.
Tambahan beliau, dia bergegas kembali ke rumahnya yang turut terbakar dan sempat mencapai beg berisi dokumen penting dan meminta jiran menyelamatkan kereta dan motosikal.
“Segala persiapan raya saya sekeluarga hangus termasuk wang tunai RM4,000 serta sejumlah barang kemas yang mahu dipakai di hari raya nanti,” katanya sambil berlinangan air mata.
“Hanya beg berisi dokumen sahaja sempat diselamatkan, manakala 100 ekor ayam dalam peti sejuk untuk jualan nasi pada raya kedua serta duit modal turut RM500 hangus,” ujarnya.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kelantan, Zainal Madasin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 9.53 pagi.
Katanya, seramai 35 pegawai serta anggota daripada tiga balai bomba dan penyelamat (BBP) bergegas ke lokasi tersebut.
“Sebaik tiba, api sedang marak dan jarak kediaman yang agak rapat menyebabkan api merebak dengan cepat.”
“Tindakan pantas anggota bomba dapat menyelamatkan beberapa lagi kediaman lain di sekitar,” katanya sambil memberitahu punca dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” jelasnya.
Sumber: HARIAN METRO