900 anggota buat pemeriksaan Op Patuh

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Krai: Seramai 900 anggota penguatkuasa membabitkan pelbagai agensi di Kelantan digerakkan untuk melakukan pemeriksaan dalam Op Patuh yang diadakan secara besar-besaran bermula hari ini.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohammad Piah berkata, tumpuan pemeriksaan akan diberikan kepada perusahaan besar atau kilang yang mempunyai ramai pekerja.

“Contohnya di Kota Bharu iaitu kawasan perindustrian di Pengkalan Chepa, selain itu di Gua Musang, Tanah Merah, Machang dan Kuala Krai yang mempunyai banyak kilang.

“Tujuan Op Patuh ini adalah bagi memastikan kilang-kilang yang beroperasi patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) seperti mempunyai kebenaran beroperasi daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

“Selain itu, bilangan pekerja juga tidak melebihi 60 peratus serta mempunyai prasarana seperti tempat tinggal yang sempurna kepada pekerja, selain memakai pelitup muka dan melakukan penjarakan fizikal,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai, di sini, hari ini.

Beliau turut menasihatkan pemilik-pemilik kilang supaya mematuhi SOP yang sudah dikeluarkan oleh kerajaan untuk mencegah penularan wabak Covid-19.

“Dengan mematuhi SOP, kita akan dapat mengelak daripada jangkitan Covid-19 dan operasi ini akan diteruskan sepanjang penguatkuasaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya.

Sumber: My Metro