93 Kawasan Alami Gangguan Elektrik

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Shah Alam: Sejumlah 93 kawasan di Selangor mengalami gangguan bekalan elektrik susulan banjir kilat yang melanda beberapa daerah di negeri ini sejak malam tadi.

Tenaga Nasional Berhad (TNB) dalam kenyataan memaklumkan 93 kawasan berkenaan membabitkan Banting, Sepang, Pelabuhan Klang serta Klang.

“Setakat jam 10 pagi, pasukan teknikal TNB sudah berjaya memulihkan bekalan elektrik di beberapa kawasan.

“Sementara itu, bekalan masih belum dapat diberikan di kawasan sekitar yang terjejas di Banting, Sepang, Pelabuhan Klang dan Klang.

“Pelanggan dinasihatkan supaya kekal selamat dan sentiasa berhati-hati. Jangan sentuh peralatan elektrik atau mendekati pepasangan TNB yang ditenggelami air, kesabaran dan keprihatinan anda amat dihargai,” jelasnya menerusi muatnaik di Facebook TNB Careline.

Terdahulu, TNB memaklumkan bahawa usaha sedang giat dijalankan bagi memastikan bekalan elektrik di kawasan terbabit dapat disalurkan secara berperingkat, bergantung kepada akses dan keadaan setempat.

“Mohon jaga keselamatan dan hubungi 15454 untuk melaporkan pepasangan TNB yang berada dalam keadaan bahaya.

“Sentiasa berwaspada dengan persekitaran serta patuhi arahan pihak berkuasa sekiranya diminta berpindah ke pusat pemindahan sementara.

“Bagi pelanggan yang sudah mendapat bekalan elektrik sepenuhnya, anda dinasihatkan untuk mendapatkan khidmat kontraktor pendawaian elektrik yang berdaftar dengan Suruhanjaya Tenaga untuk memeriksa dan memastikan peralatan elektrik di rumah anda selamat untuk digunakan,” katanya.

Sumber: My Metro