93 Peratus Daripada Sasaran 20,000 Rumah Berjaya Dicapai Kerajaan Negeri Terengganu

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – 18,619 unit rumah atau 93.1 peratus daripada sasaran 20,000 unit perumahan untuk rakyat berjaya dibina di negeri Terengganu sejak 2018.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, kerajaan negeri sebelum ini menetapkan sasaran itu untuk dicapai menjelang 2023 semenjak 2018 dilancarkan.

Beliau berkata, pihaknya yakin baki 1,381 unit lagi dapat dicapai dalam tempoh berkenaan bagi membolehkan rakyat negeri ini memiliki kediaman masing-masing.

Katanya, pihaknya yakin mampu mencapai sasaran itu dengan kerjasama yang dijalankan bersama syarikat swasta yang ada.

“Ia termasuk sebanyak 1,716 unit rumah pelbagai jenis dan komersial yang akan dibina di Kerteh Jaya dan Kampung Semayor, Kemaman bermula Julai ini dengan mengetengahkan konsep ‘Smart and Green City’.

“Projek yang membabitkan kos pembangunan kasar sebanyak RM468 juta ini dijangka mengambil masa enam tahun untuk disiapkan di tapak yang berkeluasan 85 hektar.

“Projek ini bakal menyediakan Rumah Mampu Milik (RMM) jenis A sebanyak 356 unit, 547 unit jenis B dan 813 unit komersial,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Usahasama Cadangan Projek Pembangunan Perumahan Mampu Milik dan Bercampur Secara Penswastaan di Wisma Darul Iman, hari ini.

Turut hadir Pengarah Urusan Kumpulan Ireka Corporation Berhad, Mohd Hasnul Ismar Mohd Ismail.

Mengenai projek pembinaan rumah di daerah Kemaman, Dr Alias berkata, kesemua rumah projek pembinaan itu dilakukan dalam tiga fasa dengan rumah dijual antara RM80,000 hingga RM650,000 seunit.

Sumber: UNIT BERITA MANIS FM