95 Peratus Masyarakat Patuh SOP Di Tempat Tumpuan – KP Pahang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Tahap pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) di tempat tumpuan orang ramai di negeri ini berada pada tahap 95 peratus secara keseluruhannya.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata ini kerana masyarakat dilihat telah hampir ‘sebati’ keadaan keperluan pematuhan SOP setelah hampir dua tahun pelaksanaannya.

Ketua Polis Pahang, YDH CP Datuk Ramli Mohamed Yoosuf

Beliau berkata pihaknya juga mengesan ada berlaku pelanggaran SOP oleh masyarakat namun demikian pihaknya mengambil langkah memberikan nasihat kepada mereka untuk mematuhi SOP yang ditetapkan.

“Semalam pasukan pematuhan diketuai oleh Timbalan Ketua Polis Daerah Kuantan telah melawat beberapa tempat tumpuan dan perkelahan termasuklah di Sungai Lembing dan turut memberi peringatan kepada orang ramai.

“Memang tidak dapat dielakkan kerana terdapat ramai yang beriadah sama ada berkelah bersama keluarga atau bersenam di kawasan pantai atau taman rekreasi.

“Namun, pemerhatian polis menunjukkan SOP secara amnya dipatuhi. Perkumpulan pada amnya hanya melibatkan kelompok-kelompok keluarga dan aktiviti sukan pula pada kebanyakan masa mematuhi jarak sosial,” katanya ketika dihubungi Unit Komunikasi dan Media Pahang (UKOMP).

Menurut beliau lagi, masyarakat seharusnya sentiasa peka kepada arahan yang telah dikeluarkan demi kebaikan bersama semua pihak.

“Kini kita perlu hidup dengan keadaan baru iaitu dalam suasana endemik. Dalam kata lain, sememangnya penularan kini dalam komuniti. Justeru, kita tiada pilihan kecuali mematuhi semua SOP yang dikeluarkan demi kebaikan bersama. Masyarakat perlu sentiasa peka kepada 3C iaitu nasihat daripada KKM.

“Apa yang lebih mustahak adalah kesedaran itu mesti bermula daripada dalam diri masing-masing, kemudian keluarga, kemudian barulah dalam interaksi harian bersama rakan taulan, tempat kerja dan riadah, dan seterusnya kepada masyarakat keseluruhannya. Penguatkuasaan oleh polis dan lain-lain agensi hanyalah elemen luaran bagi mereka yang sengaja tidak endah kepada SOP,” katanya.

Beliau mewakili pihak polis turut menekankan kepentingan masyarakat menerima suntikan imunisasi vaksin COVID-19 bagi kebaikan bersama.

“Gerakan anti vaksin atau sikap takut dengan pelbagai alasan tidak mahu mengambil vaksin hanyalah merugikan diri sendiri, malah membawa akibat (buruk) kepada orang lain sama ada ahli keluarga atau mereka yang berurusan dengannya,” katanya.

Sumber: PAHANGMEDIA