128 Beg Darah Berjaya Dikumpul

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KEMAMAN – Sebanyak 128 beg darah berjaya dikumpulkan di ‘Amal Mega Blood Donation 2021’ di sini pada 15 Januari.

Program derma darah itu dianjurkan oleh Jabatan Amal Malaysia (JAM) yang dikendalikan oleh JAM Kawasan Kemaman dengan kerjasama Unit Transfusi Darah Hospital Kemaman dan Jawatankuasa Masjid Sultan Ahmad.

Timbalan Ketua Pegawai Tadbir JAM Pusat, Wan Mohd Faisal Wan Abdullah bersyukur kerana program tersebut berjalan lancar dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

“Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada warga Kemaman yang sudi hadir memberi sokongan kepada kami dan kehadiran peserta amat memberangsangkan.

“Kami meletakkan sasaran sebanyak 120 beg darah yang perlu dikumpulkan pada program ini, alhamdulillah ianya berjaya melepasi sasaran iaitu sebanyak 128 beg selama dua hari kami di sini,” katanya ketika ditemui di Masjid Sultan Ahmad, pada Jumaat.

Program yang diadakan selama dua hari itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abdul Hamid, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat, ADUN Kemasik, Ir. Saiful Azmi Suhaili dan Pegawai Penyelaras DUN Kijal, Ustaz Hazri Jusoh.

Wan Mohd Faisal yang juga Timbalan Pengarah II JAM Negeri Terengganu mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat.

“Saya sebagai wakil JAM mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang terlibat terutama Hospital Kemaman, Angkatan Pertahanan Awam Kemaman, anggota Bomba Kemaman, semua Badan Bukan Kerajaan (NGO), pihak masjid, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK), Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Dewan Pemuda PAS Kawasan Kemaman dan semua anggota Amal Kemaman,” ucapnya.

Ketika ditanya mengapa program tersebut diadakan, Wan Mohd Faisal menyatakan, ianya bertujuan untuk mengisi tabung darah negara bagi mereka yang memerlukannya untuk tujuan rawatan.

“Untuk makluman, program ini diadakan serentak di seluruh negara bagi mengisi tabung darah negara yang sentiasa memerlukan darah,” ujarnya.

Sumber: TRDI News