Hanya sempat capai periuk nasi, bakul kuih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Pengusaha kedai makan hanya sempat mencapai periuk nasi dan bakul mengandungi kuih-muih apabila premis terbakar di Kampung Kutan Tengah, di sini, hari ini.

Dalam kejadian 10.40 pagi, Mohd Sabri Abdullah, 52, sedang membungkus nasi dan kuih-muih untuk dua pelanggan yang berada dalam premis sebelum terhidu bau hangit asap.

Mohd Sabri berkata, dua pelanggan termasuk dirinya mencari punca sebelum melihat asap dari kedai runcit bersebelahan yang belum dibuka.

“Semakin lama kepulan asap menjadi tebal dan dalam keadaan panik saya bersama pelanggan segera keluar dengan hanya sempat mencapai perkakas dapur termasuk bakul berisi kuih-muih,” katanya.

Mohd Sabri yang sudah berniaga di situ sejak empat tahun lalu berkata, dia menganggarkan mengalami kerugian lebih RM10,000 kerana peralatan elektrik hangus termasuk tiga peti ais.

Sementara itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Wakaf Bharu, Pegawai Bomba Kanan I Nazah Nafi berkata, ketika kejadian beliau bersama sembilan anggotanya sedang melakukan rondaan perjalanan dan ujian pili bomba di sekitar kawasan terbabit.

Menurutnya, anggotanya ternampak asap dari dua premis terbabit lalu bergegas ke lokasi.

ANGGOTA bomba sedang memadamkan kebakaran membabitkan dua unit premis iaitu kedai makan dan kedai runcit di Kampung Kutan Tengah pada jam 10.40 pagi tadi. 

“Seramai 28 anggota dari BBP Wakaf Bharu, BBP Tumpat dan BBP Darul Naim terbabit dalam operasi dengan empat jentera termasuk satu daripada BBP Kota Bharu.

“Api dapat dikawal pada 11.21 pagi dan kemusnahan membabitkan dua premis itu adalah 80 peratus manakala punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Sumber : MetroTV