Warga Bangladesh salur bantuan kepada mangsa banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Temerloh: Seramai 14 peniaga warga Bangladesh yang menetap di negara ini menyumbangkan bantuan kepada 150 penduduk terjejas banjir di Taman Desa Kuala Krau, dekat sini, semalam.

Sukarelawan warga Bangladesh-Malaysia itu menyumbang 14 jenis barangan seperti makanan, telekung, sejadah, kain batik, kain pelikat dan baju batik perempuan kepada penduduk.

Pengerusinya, Datuk Zakaria Hamed berkata, ini adalah bantuan kali keempat selepas menyalurkan bantuan di Jerantut dan Maran selain di Kelantan.

“Bantuan ini akan diteruskan selagi kami mampu kerana sebagai orang Islam, kita harus membantu mereka yang berada dalam kesusahan.

“Hari ini kita beri bantuan makanan dan keperluan harian termasuk 150 set sejadah dan 200 set telekung, ” katanya.

Sementara itu, duta kepada sukarelawan itu, Azlee Senario berkata, program bantuan itu akan diteruskan di Pengerang, Kota Tinggi dan Johor Bahru.

“Hari ini misi kita ialah di Taman Desa Kuala Krau kerana banjir yang melanda kali ini paling teruk hingga memberi kesan kepada semua mangsa,” katanya.

Sementara itu, penduduk, Mastura Abdul Malek, 52, berkata, pelbagai sumbangan diterimanya seperti sejadah, telekung, makanan dan pakaian untuk kanak-kanak.

“Saya rasa ini adalah antara sumbangan terbesar yang kami dapat daripada pelbagai pihak, tapi yang paling penting bagi saya ialah sejadah dan kain untuk solat,” katanya.

Sumbangan sejadah turut diberikan kepada pengurusan Masjid Kuala Krau, Ibu Pejabat Polis (IPD) Temerloh dan Balai Polis Kuala Krau.

Sumber: My Metro