HULU TERENGGANU, 18 Januari – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) hanya menerima tiga aduan rasmi tentang isu kenaikan harga minyak masak botol 5 kilogram (kg) sejak awal tahun ini.
Timbalan Menterinya, Dato’ Rosol Wahid berkata, dua aduan dari Johor dan satu lagi Putrajaya membabitkan kenaikan pada harga RM25 hingga RM28 sebotol, berbanding RM19 hingga RM22 sebotol sebelum ini.
Sehubungan dengan itu katanya, KPDNHEP telah menjalankan pemeriksaan di peringkat peruncit untuk menyiasat sekiranya wujud unsur pencatutan berdasarkan rungutan di media sosial dan aduan yang diterima.
“Sebanyak enam notis di bawah Seksyen 21, Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah dikemukakan kepada peniaga untuk mendapatkan maklumat lanjut berhubung kenaikan harga yang berlaku dan mengesan sekiranya wujud sebarang elemen pencatutan setakat ini.
“Peniaga yang didapati cuba mengambil kesempatan dan sengaja menaikkan harga minyak masak akan diambil tindakan tegas di bawah akta ini, dan boleh didenda tidak lebih RM500,000 atau lima tahun penjara atau kedua-duanya sekali sekira ianya suatu perbadanan manakala bagi orang perseorangan boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau dua tahun penjara atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan wang tunai RM500 kepada 119 orang peniaga dan penjaja yang terjejas akibat COVID-19 di pejabatnya, di sini, kelmarin.
Justeru itu katanya, orang ramai disaran terus membuat aduan sekiranya wujud unsur pencatutan dalam kalangan peniaga untuk pihak KPDNHEP mengambil tindakan segera.
Menurut Rosol yang juga Ahli Parlimen Hulu Terengganu, hanya beberapa jenama minyak botol 5kg yang dikesan mengalami kenaikan harga di beberapa lokasi tertentu, manakala terdapat jenama lain masih dijual pada harga rendah di banyak kawasan.
“Oleh itu, bagi pengguna yang merasa tertekan dengan harga minyak botol, mereka perlu membuat pilihan bijak dan mendapatkannya pada harga munasabah selain minyak paket polibeg yang dijual pada harga subsidi RM2.50/kg bagi kurangkan bebanan kewangan,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, harga minyak masak botol tidak tetap malah berubah-ubah dan akan dijual mengikut harga pasaran berdasarkan mekanisme pengapungan harga serta harga minyak sawit mentah semasa dunia.
“Minyak masak yang diberi subsidi hanya dalam paket polibeg 1kg, manakala pembungkusan botol 500g, 1kg, 2kg, 3kg, 5kg tiada subsidi menyebabkan harganya tidak dikawal dan akan dipengaruhi dengan harga minyak sawit mentah dunia,” kata Rosol.
Sumber: TRDI News