Banjir di Pahang semakin pulih

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: Seramai 678 mangsa banjir daripada 185 keluarga di Pahang masih berada di enam Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Kuantan dan Pekan, setakat 9 pagi kelmarin.

Jumlah itu menurun daripada 858 mangsa (238 keluarga) pada petang semalam, menurut portal Info Bencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Semua mangsa itu di 11 PPS di Kuantan, Pekan dan Maran dengan Kuantan mencatat jumlah tertinggi iaitu 380 orang daripada 90 keluarga, diikuti Pekan dengan 298 mangsa daripada 95 keluarga.

Sementara itu, laporan infobanjir.water.gov.my memaklumkan hanya Sungai Jelai di Jeram Bungor, Lipis melepasi paras bahaya, manakala Sungai Pahang di Serambi (Paloh Hinai), Pekan berada pada paras berjaga-jaga.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran angin kencang timur laut melebihi 60 kilometer sejam dengan ombak setinggi melebihi 4.5 meter yang dijangka berlaku di perairan Pahang sehingga hari ini.

Sumber: My Metro