Pondok tahfiz rosak teruk ditenggelami banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuantan: “Air naik begitu cepat menyebabkan saya bersama seorang guru dan seorang pelajar tidak sempat menyelamatkan barangan dalam semua 40 pondok,” kata guru agama Mohd Azmi Che Soh, 34.

Mudir Pondok Tahfiz Riyadus Solehin Kampung Semangat di sini berkata, kelengkapan tempat tidur pelajar seperti tilam, pakaian dan makanan dalam kantin musnah dilanda banjir dan lumpur yang bertahan lebih seminggu.

Katanya, ini kali pertama pondok yang mula beroperasi dua tahun lalu itu ditenggelami banjir hingga menyebabkan banyak kerugian ditanggung pihak pengurusan, kesan lumpur juga melekat pada dinding bangunan termasuk surau.

“Air lebih dua meter dalam hingga menyebabkan semua pondok nampak bumbung, saya bersama seorang guru dan seorang pelajar ketika itu berpindah selepas diarahkan oleh pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) yang datang menggunakan bot.

“Kami pihak pengurusan Pondok Tahfiz Riyadus Solehin reda dengan apa yang berlaku kerana yakin pasti ada hikmah di sebalik bencana banjir yang berlaku itu.

“Selepas banjir surut banyak pihak datang membantu membersihkan kawasan dan peralatan, ada juga yang memberi sumbangan,” katanya selepas menerima bantuan bencana dari Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP), di sini, semalam.

Sumbangan disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP Dr Asmadi Abdul Rahman.

Asmadi berkata, bantuan bencana sebanyak RM10,000 dan 20 tilam diberikan kepada Pondok Tahfiz Riyadus Solehin bagi mereka meneruskan program pendidikan agama selepas ini.

“MUIP memberi bantuan bencana sebanyak RM176,000 kepada 24 buah Maahad Tahfiz dan Madrasah yang terjejas banjir di negeri ini, fasa pertama agihan di Temerloh, Maran dan Kuantan sudah dilakukan secara berperingkat.

“Jumlah bantuan diberikan antara RM5,000 hingga RM10,000 bagi setiap Maahad Tahfiz dan Madrasah bergantung kepada kerosakan harta benda yang dialami, bantuan berkenaan diharap dapat meringankan beban yang ditanggung.

“Kita juga akan mempertimbangkan bantuan lain terutama membabitkan kerusi, meja, tilam dan almari. Selepas ditenggelami banjir beberapa hari banyak peralatan berkenaan rosak serta tidak boleh digunakan lagi,” katanya.

Sumber: My Metro