Kuala Terengganu: Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuantan melakukan khidmat bantuan kepada seorang kru kapal yang diserang strok dekat Pelabuhan Kemaman pagi kelmarin.
Lelaki berusia 73 tahun dari Skudai, Johor diserang angin ahmar ketika kapal berkenaan bersauh pada jarak satu batu nautika dari Pelabuhan Kemaman.
Pengarah Maritim Negeri Terengganu Kepten Maritim Muhammad Suffi Mohd Ramli berkata, lelaki terbabit dilaporkan terjatuh ketika melakukan rutin kerja harian di atas kapal pada jam 9 pagi.
Katanya, kru kapal berkenaan menghubungi MRSC Kuantan bagi mendapatkan bantuan untuk membawa mangsa ke hospital berhampiran.
“Zon Maritim Kemaman menerima laporan mengenai kejadian itu jam 9.25 pagi sebelum menggerakkan bot KILAT 27 ke lokasi bagi bantuan pemindahan pesakit.
“Bagaimanapun, keadaan ombak yang besar menyebabkan kita tidak dapat melakukan operasi pemindahan sebaliknya mengiring kapal dinaiki mangsa ke Pelabuhan Kemaman,” katanya dalam satu kenyataan di sini, kelmarin.
Muhammad Suffi berkata, anggota yang bertugas turut memberi rawatan awal kepada mangsa yang berada di atas kapal.
Katanya, mangsa diserahkan kepada pihak Hospital Kemaman pada jam 11 pagi dan keadaan mangsa dilaporkan stabil.
“Maritim Malaysia meminta kerjasama masyarakat terutama komuniti maritim untuk
melaporkan sebarang maklumat dan kejadian kecemasan yang berlaku di perairan negara ke talian MERS 999 atau 09-6224357 (Pusat Operasi) Maritim Negeri Terengganu,” katanya.
Sumber: My Metro