PKP lubuk rezeki ‘runner’

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PASIR MAS – “Meme tak suko PKP, tapi jadi lubuk rezeki ambo,” itu luahan Mohd Ibzaiki Ibrahim, 38, yang menjalankan khidmat sebagai ‘runner’ penghantar makanan.

Siapa sangka, di sebalik ‘keperitan’ pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 di Kelantan sejak 16 Januari lalu, ada rezeki tambahan kepada mereka yang rajin berusaha.

Mohd Ibzaiki yang sebelum ini bekerja sebagai ejen jualan mengakui perkhidmatan sebagai ‘runner’ banyak membantu mengukuhkan sumber kewangan keluarga sepanjang tempoh PKP.

Anak kelahiran Kampung Resak, Tendong itu mengakui mampu meraih pendapatan sekitar RM70 sehari menerusi perkhidmatan tersebut yang bermula seawal jam 9 pagi.

“Hasil perkhidmatan ini dapatlah saya menambah pendapatan keluarga bagi membesarkan tiga anak yang masih bersekolah dan seorang lagi berusia lapan bulan.

“Saya sendiri tidak pernah terfikir akan menjadikan ‘runner’ sebagai pekerjaan jika tidak disebabkan Covid-19.

“Sebagai ejen jualan saya langsung tidak dapat menjual barangan kerana masyarakat mula berjimat serta berhati-hati untuk berbelanja,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Menurut Mohd Ibzaiki, dia sudah lebih dari setahun berkhidmat sebagai ‘runner’ dan dapat menampung perbelanjaan keluarga sepanjang tempoh PKP 1.0 dan 2.0 malah tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan.

Bagaimanapun katanya, dia lebih selesa mengambil tugasan mengikut ‘kemampuan’ bertujuan mengelakkan gagal memenuhi khidmat kepada pelanggan seperti yang telah dijanjikan.

“Saya hanya mengenakan caj antara RM2 hingga RM3 di kawasan sekitar bandar Pasir Mas. Kalau luar dari kawasan itu saya caj mengikut jarak,” katanya.

Mohd Ibzaiki berkata, dia menggunakan Facebook sebagai medium mempromosikan perkhidmatannya itu.

“Terima kasih kepada orang ramai yang sudi ‘berkongsi’ rezeki dengan menghubungi saya untuk membeli makanan,” katanya.

Sumber: Sinar Harian