Suami isteri ditahan dera anak angkat berusia 14 bulan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Sepasang suami isteri berusia 26 dan 31 tahun ditahan pihak polis susulan mendera anak angkat berusia setahun dua bulan di sebuah rumah di Kok Lanas, di sini, jam 1 pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, kanak-kanak perempuan terbabit dipercayai mengalami kecederaan pada badan, muka, dahi, tangan dan bengkak peha kanan.

“Kecederaan berkenaan dikesan oleh ibu kandungnya yang berusia 33 tahun, apabila terdapat parut pada anggota badan dan kemudian membawa mangsa ke sebuah Klinik Kesihatan di daerah Besut.

“Kanak-kanak terbabit kemudian dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) di Kuala Terengganu, dan selepas dikesan mempunyai kesan dera, kes dilaporkan kepada pihak polis.

“Hasil laporan mendapati, kanak-kanak terbabit diserahkan kepada keluarga angkat iaitu pasangan terbabit pada Ogos tahun lalu oleh ibu kandung anak berkenaan,” katanya.

Abdul Rahim berkata, pada November tahun sama, pasangan terbabit menyerahkan kembali mangsa kepada ibu kandungnya yang tinggal di Besut, Kuala Terengganu.

“Hasil siasatan ujian saringan air kencing juga mendapati suspek lelaki positif dadah jenis Methamphetamine dan kes disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta kanak-kanak 2001.

“Kedua -dua suspek ditahan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 7 Februari,” katanya.

SUMBER: MyMetro