Apa itu Qailulah dan Bilakah Pelaksanaanya ?

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Definisi Qailulah

Qailulah merupakan perkata bahasa arab yang kata dasarnya ialah قَالَ-يَقِيلُ-قَيلا-قَيلُولَة. Kata Ibnu manzur qailulah membawa maksud tidur pada pertengahan siang. (Rujuk Lisan al-Arab, 11/572).

Imam Al-San’ani menyatakan bahawa maksud qailulah ialah berehat pada pertengahan siang walaupun tidak tidur. (Rujuk Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/396)

Maksud qailulah boleh difahami melalui hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Mas’ud R.A bahawa Nabi SAW bersabda :

مالي ولِلدُّنيا إنَّما مَثَلي ومَثَلُ الدُّنيا كمثل راكبٍ قالَ في ظلِّ شجرةٍ ثم راحَ وتركها

Maksudnya :” Apa dah jadi padaku dan pada dunia. Perumpamaan aku dan dunia seperti seorang penunggang yang mana dia berehat sebentar di bawah pokok, kemudian pergi meninggalkan pokok tersebut.” – Riwayat al-Tirmizi (2377), Ibnu Majah (4109)

Qailulah merupakan salah satu perbuatan sunat yang disepakati jumhur ulama.Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang diriwayatkan daripada Ibnu Abbas daripada Nabi SAW. Baginda bersabda :

قِيلُوا فَإِنَّ الشَّيَاطِينَ لَا تَقِيلُ

Maksudnya :” Lakukanlah qailulah. Sesungguhnya syaitan tidak berehat.” – Riwayat Al-Tabarani (28) di dalam Al-Mu’jam Al-Awsat

Secara ringkasnya, qailulah bermakna berehat sebentar walaupun tidak tidur.

Waktu Qoilulah

Para ulama’ berbeza pendapat dalam penentuan waktu qoilulah sama ada ianya sebelum atau selepas Zohor. Ada pendapat yang mengatakan bahawa qoilulah itu adalah selepas gelincirnya matahari da nada juga sebahagian pendapat yang mengatakan ianya sebelum tergelincir matahari.

Kebanyakan kitab-kitab fiqh mazhab al-Syafi’e menyebutkan bahawa al-Qoilulah itu  adalah tidur sebelum ataupun menghampiri waktu gelincir matahari. Ini sepertimana yang disebutkan oleh al-Imam Ibn Hajar al-Hatami Rahimahullah, al-Imam al-Khatib al-Syarbini Rahimahullah dan begitu juga al-Imam al-Ramli Rahimahullah.

Namun, terdapat juga pendapat yang mengatakan al-Qoilulah ini boleh dilakukan sebelum atau selepas tergelincirnya matahari. Ini sepertimana pendapat al-Manawi yang mana beliau menyebutkan di dalam Faydh al-Qadir bahawa al-Qoilulah itu adalah tidur dipertengahan siang ketika tergelincir dan apa yang menghampirinya daripada sebelum atau selepasnya.

Adapun bagi hari Jumaat terdapat nas daripada hadith Nabi SAW yang mana al-Qoilulah pada hari Jumaat adalah selepas menunaikan solat Jumaat. Ini berdasarkan sebuah hadith daripada Anas bin Malik RA:

كُنَّا نُبَكِّرُ بِالْجُمُعَةِ، وَنَقِيلُ بَعْدَ الْجُمُعَةِ

Maksudnya: Adalah kami bersegera dalam menunaikan solat Jumaat  dan tidur qoilulah pada selepas Jumaat. Riwayat Al-Bukhari (904)

Kesimpulannya, pendapat dari pihak mufti Wilayah persekutuan qoilulah itu dilakukan sebelum atau selepas gelincir matahari mengikut kesesuaian masing-masing dengan tujuan untuk memberikan tenaga dalam beribadat di malam hari dengan berqiyamullail. Wallahu a’lam.

Sumber : Laman Web Mufti WP