KES JENAYAH KUANTAN MENURUN 35 PERATUS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Kes jenayah di daerah Kuantan pada bulan ini menunjukkan penurunan sebanyak 35 peratus berbanding tempoh sama pada tahun lepas.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Tuan ACP Mohamad Noor Yusof Ali berkata jumlah kes jenayah ini direkodkan bermula 1 Januari lepas sehingga semalam.

“Bermula pada 1 Januari sehingga hari ini, berbanding dengan tempoh yang sama pada tahun lepas, kita dapati penurunan jenayah yang sangat ketara iaitu 42 kes atau bersamaan 35.29 peratus.

“Ini menunjukkan penurunan yang sangat ketara namun begitu kita tidak leka, saya sentiasa mengingatkan di mana dalam penurunan ini ada kes yang menunjukkan kekerapan berlaku,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melakukan Ronda Cegah Jenayah dan Pemantauan Pematuhan Covid-19 di sekitar Kuantan, hari ini.

Beliau berkata walaupun jumlah kes jenayah di daerah ini menunjukkan penurunan namun demikian terdapat dua kes utama menunjukkan peningkatan.

“Walaupun kes menunjukkan penurunan tetapi ada kes yang menunjukkan kekerapan iaitu dua kes utama, pecah rumah dan juga curi motosikal.

“Jadi saya telah mengarahkan bahagian cawangan jenayah untuk mengatur gerak Ketua Polis Balai, dan anggota sektor supaya merancakkan lagi pengumpulan maklumat bagi tujuan pengaturan dan mengambil tindakan tangkapan,” katanya.

Beliau turut berharap supaya orang ramai sentiasa memberikan kerjasama kepada pihak polis dari segi maklumat dan sebagainya bagi memastikan tindakan jenayah dapat dibanteras.

“Jadi di sini berharap kepada masyarakat untuk memberi respon dan kerjasama yang sangat baik bagi memastikan kita sama-sama mencegah daripada berlakunya tindakan jenayah.

“Kita juga meminta orang ramai sekiranya ada maklumat maka sila berhubung segera kepada pihak polis di bilik gerakan yang sentiasa bersiap sedia 24 jam dan penyalurpenyalur maklumat ini akan kita rahsiakan,” katanya

Sumber: Portal Rasmi Kerajaan Negeri Pahang