Kerajaan Pahang Berjaya Atasi Krisis Banjir

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

KUANTAN, 3 FEBRUARI 2021: Hujan luar biasa selama tiga hari berturut-turut telah menyumbang kepada banjir besar yang berlaku pada awal tahun ini sekaligus meletakkan Pahang sebagai sebuah negeri yang sedaya mungkin membela nasib setiap mangsa yang terlibat.

Menteri Besar Pahang, YAB Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dana sebanyak RM3 juta telah disuntik sebelum jumlah berkenaan ditambah sebanyak RM8 juta lagi bagi membolehkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) menyalurkan barangan keperluan bukan sahaja ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) tetapi juga ke lokasi-lokasi terputus hubungan.

“Kemudian kita berusaha mendapatkan maklumat tepat dari Pejabat Daerah dan Tanah berkenaan jumlah sebenar mangsa banjir dan nilai kerosakan yang dialami, untuk Kerajaan Negeri mempertimbangkan pemberian sumbangan tunai ‘one-off’ kepada mereka.

“Melihat balik bagaimana Kerajaan Negeri mendepani kedua-dua cabaran besar ini, boleh saya katakan kita telah berjaya menangani dan mengatasinya dengan jaya,” katanya.

Menyentuh berkenaan kerja-kerja kesukarelawaan yang berlangsung terutama pada pasca banjir, beliau berkata, Sukarelawan Pahang dengan anggota lebih 10,000 orang termasuk dari Majlis Tindakan Sosial Pahang (MTSP), Skuad Bencana Pahang, Majlis Pembangunan Wanita Pahang, membantu di kawasan-kawasan terjejas banjir dengan kerja-kerja pembersihan.

“Ini pula dijayakan dengan kerjasama pelbagai pihak menerusi semangat ‘esprit-de-corp’ yang sejati termasuk melibatkan jabatan-jabatan dan agensi-agensi kerajaan yang berkenaan.

“Dengan bantuan semua, akhirnya kerja-kerja yang susah dan sukar menjadi begitu mudah. Saya tahu kerana saya turut terlibat dalam kerja-kerja pembersihan ini seperti di Chenor, Maran dan di Mengkarak, Bera,” katanya.

Katanya lagi, bagi pihak Kerajaan Negeri, segala usaha dan jasa yang dilakukan oleh setiap petugas barisan hadapan dan sukarelawan tidak dapat dibalas.

“Saya sangat hargai apa yg telah dilaksanakan dan bersyukur kerana wujud kesedaran dan semangat kesukarelawaan yang tinggi di kalangan rakyat negeri ini.

“Kita akan terus perkasakan lagi pasukan sukarelawan yang ada, sebagai contoh adakan kursus ketika hadapi sebarang bencana termasuk banjir,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata bahawa Jawatankuasa Pasca Banjir telah ditubuhkan sejak bencana itu belum selesai lagi bagi memastikan langkah seterusnya dapat dilaksanakan secara cekap dan berkesan.

“Sebanyak sembilan kluster banjir juga telah dikesan dan disenaraikan seperti rumah terjejas teruk, separa teruk, diminta berpindah tetapi rumah tak kena banjir dan sebagainya.

“Kita tidak mahu sesiapa pun tercicir dari bantuan yang kita minta Kerajaan Persekutuan salurkan termasuk memohon kos membina projek tebatan banjir, pusat penempatan kekal dan sebagainya agar kita lebih bersedia pada masa akan datang” katanya.

Sumber: Pahang Media