Penduduk Palestin dapat vaksin COVID-19

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Televisyen menunjukkan siaran langsung petugas kesihatan Palestin mendapat suntikan vaksin COVID-19, di kedai gunting, Nablus, Tebing Barat. – Foto AFP

Pihak Berkuasa Palestin memulakan program imunisasi COVID-19, merangkumi petugas kesihatannya yang ditempatkan di Tebing Barat.

Menteri Kesihatan Palestin, Mai al-Kaila, ketika mengumumkan perkara itu berkata, program bagi membendung penularan COVID-19 berkenaan dimulakan hari ini.

Katanya, bekalan dos vaksin akan turut dihantar ke Gaza, iaitu wilayah yang dikuasai pejuang Hamas untuk kegunaan petugas barisan hadapan.

“Kita sudah beri keutamaan tertinggi kepada petugas kesihatan dan mereka yang bekerja di unit rawatan rapi,” katanya dalam perutusan khas.

Israel yang melaksanakan kempen inokulasi besar-besaran terhadap penduduknya, sebelum ini berdepan tekanan hebat pada peringkat global, termasuk daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk tampil membantu rakyat Palestin di Tebing Barat dan Semenanjung Gaza bagi mendapatkan vaksin.

Kementerian Pertahanan Israel, kelmarin dilaporkan berkata, pihaknya akan menghantar 5,000 dos vaksin kepada Pihak Berkuasa Palestin, sebagai bekalan program imunisasi membabitkan petugas perubatan.

Pihak Berkuasa Palestin sebelum ini menjangka perolehan vaksin menerusi program pelan peruntukan vaksin COVID-19 global, COVAX yang disokong PBB bagi membantu negara kurang berkemampuan menangani kesan pandemik.

Agensi yang berpangkalan di Ramallah, Tebing Barat itu turut mendedahkan bahawa pihaknya sudah menandatangani kontrak bersama empat penyedia bekalan vaksin, termasuk syarikat pengeluar Sputnik V, keluaran Russia.

Pelan perolehan vaksin berkenaan dijangka mencukupi untuk menampung bekalan 70 peratus penduduk Palestin yang mendiami kawasan di Tebing Barat dan Gaza.

Di Tebing Barat, yang menjadi penempatan 2.8 juta rakyat Palestin setakat ini merekodkan lebih 108,000 kes positif COVID-19, termasuk 1,325 kematian.

Wilayah yang dibelenggu kemiskinan dan didiami dua juta penduduk, Gaza pula mencatatkan lebih 51,000 kes positif, termasuk 523 kematian.

Program vaksinasi Israel digambarkan sebagai pelan pelaksanaan yang terpantas di dunia, apabila tiga juta atau 33.33 peratus daripada keseluruhan sembilan juta penduduknya, sudah menerima suntikan pertama vaksin Pfizer.

Selain itu, Israel dikatakan memeterai perjanjian perolehan vaksin daripada Moderna, termasuk untuk bekalan yang akan disalurkan kepada Pihak Berkuasa Palestin. – AFP