Acheh : Pelajar perempuan jadi buruh untuk bantu keluarga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Zahra dan ibunya, Lela, di Lhokseumawe, Aceh, Jumaat (5/2/2021)
Sumber- (KOMPAS.COM/MASRIADI SAMBO)

Pada usia yang masih belasan tahun, seorang pelajar perempuan sekolah menengah dari Lhoksumawe di Aceh terpaksa menjadi buruh binaan demi menyara keluarganya.

Lapor Kompas.com, pelajar yang dikenali sebagai Zahra bekerja di tapak pembinaan bagi meringankan beban ibunya, Lela agar keluarga mereka dapat meneruskan kehidupan.

Jelas laporan itu, Lela merupakan ibu tunggal dan mempunyai empat orang anak.

Anak sulungnya, Ilham Hidayat baharu sahaja menamatkan persekolahan manakala tiga anak iaitu Zahra, Sucila Iqomah dan Wahyuda masih lagi bersekolah.

“Setiap hari, Lela bekerja sebagai pekerja dobi supaya anak-anaknya dapat makan dan belajar. 

“Keluarganya kini tinggal di sebuah pondok kecil di desa Uteun Kot, Muara Dua di Lhokseumawe,” jelas laporan itu. 

Dalam pada itu, Zahra berkata, dia tidak berasa malu malah sanggup melakukan kerja buruh kasar disebabkan kesusahan yang dialami oleh keluarganya. 

“Saya sering tidak dapat pergi ke sekolah kerana bekerja di tapak pembinaan. Di sana, saya ikat besi untuk membina rumah.

“Bagi saya, apa yang penting adalah upah yang diterima dapat membantu ibu menyara keluarga selain untuk persekolahan saya dan adik-beradik,” katanya.   

Kisah pilu Zahra menjadi tular di laman media sosial sehingga mendapat perhatian pelbagai pihak. 

Dilaporkan, pihak sekolah juga yang tampil  menghulurkan bantuan dengan membaiki rumah Zahra.